Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

200 pelajar di Perak sertai Pertandingan Robotik Kebangsaan 2019


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





BATU GAJAH, 1 Ogos (Bernama) -- Seramai 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di Perak menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019 peringkat negeri Perak yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa di sini.

Pertandingan selama dua hari sejak semalam itu menyaksikan pelajar berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun mempamerkan kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreativiti dalam mereka cipta solusi robotik untuk bandar pintar.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan Sasbadi Holdings Berhad dengan tujuan memupuk minat pelajar untuk mempelajari Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seterusnya mengembangkan semangat kerja berpasukan.

Seorang peserta, Nur Aina Azhar, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai yang berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori 'Regular Rookie' berkata kumpulan mereka hanya mengambil masa selama tiga minggu untuk berlatih dengan guru robotik di sekolahnya.

"Ini merupakan kali pertama kami memasuki pertandingan ini dan tidak sangka mendapat juara kategori, kami berharap agar dapat mencapai tahap tertinggi pada pertandingan peringkat kebangsaan September nanti," katanya yang hanya mengambil masa 40 minit untuk menyiapkan solusi robotik itu.

Pertandingan bertemakan 'Smart Cities' dengan memfokuskan kepada konsep, idea dan teknologi baharu yang boleh membantu perancangan bandar serta operasi bandar pintar daripada segi penjimatan tenaga, menjadikan trafik lebih selamat dan menambah baik sistem pengangkutan awam.

Setiap pasukan bertanding empat kategori iaitu 'Regular Pro, 'Regular Rookie', 'NRC Football' dan 'STEM Invention and Innovation'.

Pertandingan peringkat negeri dianjurkan di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan dari Julai hingga Ogos tahun ini dan pasukan yang berjaya akan bertanding di peringkat kebangsaan di Universiti AIMST, Bedong, Kedah pada 20 Sept depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Peniaga ingkar arahan penggunaan produk biodegradasi dikompaun

 
     

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel