Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dibuka esok, pembukaan sepenuhnya September


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





KUALA PILAH, 1 Ogos (Bernama) -- Kawasan perkarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dekat sini akan dibuka untuk kunjungan orang ramai mulai esok, manakala pembukaan sepenuhnya muzium itu dijadualkan pada 1 September ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai selepas kerja-kerja susun atur dan kemas kini ruang pameran serta galeri muzium disiapkan.

Beliau berkata projek pemuliharaan dan naik taraf muzium yang bermula pada 25 Nov 2016 dan siap pada 23 Mac lepas itu melibatkan kos RM4.5 juta, yang dibiayai menerusi peruntukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kerja-kerja pemuliharaan dan naik taraf muzium itu dijalankan oleh kontraktor NTQT Sdn Bhd dan dikawal selia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak;  Pengarah JKR Negeri Sembilan Datuk Abdul Karim Mohd Tahir dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Shamsudin Ahmad.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ditutup pada Januari 2015 setelah kontraktor mengesan beberapa kerosakan pada empat tiang seri di istana lama itu yang berusia lebih 100 tahun, berpunca daripada faktor cuaca.

Kerosakan pada tiang seri itu mula dikesan ketika kerja pemuliharaan fasa pertama yang dimulakan pada tahun 2014 iaitu membaik pulih muzium, dan sebaik sahaja kerajaan negeri mengetahui mengenai masalah itu, muzium itu ditutup untuk keselamatan.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang diperbuat daripada kayu, mempunyai 99 tiang termasuk empat tiang seri dan keunikan istana yang dibina pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908 itu adalah ia tidak menggunakan sebarang paku besi.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang mempunyai empat tingkat ini telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib.

Acara hari ini turut menyaksikan majlis tandatangan dokumen projek itu diantara Isham dan Abdul Karim serta sijil penyerahan projek di antara Shamsudin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Khairul Kasim.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel