Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bersatu Kelantan sokong tulisan khat tapi pelaksanaan perlu kajian mendalam


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





PASIR PUTEH, 5 Ogos (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan bersetuju pada dasarnya kepada keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid tahun 4, mulai tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Nor, bagaimanapun berpendapat pelaksanaannya perlu dikaji secara lebih terperinci dan sesuai pada tempatnya supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

“Tulisan khat  adalah satu cabang seni dalam Islam, relevan dalam  pengajaran agama  namun tidak duduk paling atas dalam urutan  keutamaan silibus,  oleh itu wajar  di peringkat awal diperkenalkan  sebagai subjek elektif,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas isu berkenaan isu yang menjadi perbincangan hangat  dalam kalangan masyarakat di negara ini pada masa ini.

Isu berkenaan timbul  apabila Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks (Bahasa Melayu) di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis  Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat  ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Kamaruddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, tidak timbul penolakan dari mana-mana pihak cuma pelaksanaannya sahaja menjadi pertikaian yang dianggap tidak kena pada tempatnya.

“Jika mata pelajaran itu dimasukkan dalam subjek agama Islam dan bukan Bahasa Melayu mereka yang bertentangan mungkin boleh menerimanya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya cadangan memasukkan dalam subjek Bahasa Melayu sebagaimana yang dicadangkan bermakna semua pelajar termasuk berketurunan Cina dan India wajib mengambilnya dan ini dianggap akan membebankan mereka.

Katanya,  selain itu kementerian berkenaan juga perlu mengambil kira apakah guru tulisan khat yang berkebolehan mengajar dalam subjek itu mencukupi atau sebaliknya.

“Saya berpendapat adalah sukar  bagi Kementerian Pendidikan untuk menyediakan guru yang mencukupi dalam tempoh yang singkat,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel