Japen Kelantan rangka pelbagai pengisian sempena KMJG
Tarikh kemaskini: 05/08/2019

KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan merangka pelbagai pengisian sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan singgah di negeri ini pada 15 Ogos ini.
Pengarahnya Lim Ann Teck berkata antara program yang dirangka bagi menyambut 133 peserta konvoi di Mydin Mall Kubang Kerian ialah pameran dan derma darah daripada Jabatan Kesihatan Kelantan, kaunter semakan dan bayaran saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Telekom Malaysia Berhad dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
"Konvoi dijangka tiba pada pukul 3 petang dan wakil konvoi akan mengagihkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 kepada pempamer.
"Selain itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Aziz Deraman dijangka mendeklamasikan sajak manakala perasmian program akan dilakukan oleh wakil daripada PDRM Kontinjen Kelantan," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata kemuncak bagi program konvoi tersebut adalah pada 16 Ogos di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini.
"Pada majlis perasmian itu, wakil kerajaan negeri akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil kerajaan Persekutuan dan negeri, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), badan bukan kerajaan dan wakil semua masyarakat di Kelantan.
"Program berkenaan akan membabitkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan agama agar ia dapat memberi kesedaran kepada mereka," katanya.
Beliau berkata program tersebut akan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan merupakan kesinambungan bagi tahun kedua program tersebut.
Katanya selepas tamat program tersebut, konvoi akan bergerak ke Bukit Bunga, Tanah Merah sebelum meneruskan perjalanan ke Gerik, Perak dan destinasi seterusnya.
Sabtu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat kebangsaan yang berlangsung dengan penuh patriotik, meriah dan berwarna- warni disaksikan kira-kira 10,000 pengunjung yang memenuhi Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.
-- BERNAMA
|