Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hari ini membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan ialah 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream; 5th series Yanko Fade Out Cream Day Cream; dan 7th Series Yanko Whitening Cream Day dari syarikat Lurveya Sdn Bhd.

Selain itu, produk terlibat ialah Fjura Face Polish Treatment dari syarikat Thefjura Marketing, Dnars Golden Cream (Rohban Trade Sdn Bhd); Glow Glowing N Glowing (Qalbu Ocean Enterprise); dan Apple Diamond Day Loose (Glowing Expert Apple Diamond).

Dr Noor Hisham berkata kesemua produk itu didapati mengandungi merkuri yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

"Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Beliau berkata penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel