Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MADA, KADA mulakan dasar penyatuan tanah sawah


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





SERDANG, 6 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah telah mula melaksanakan dasar penyatuan tanah sawah bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan pertanian padi berskala besar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata kedua-dua pihak tersebut telah mula melakar pelan tindakan bagi rancangan tersebut yang antara lain memberi tumpuan untuk meningkatkan kadar penghasilan padi negara serta tahap sara diri (SSL).

"Pemodenan sektor padi mesti berjalan seiring dengan perkembangan semasa kerana rata-rata pesawah memiliki tanah seluas satu hingga dua hektar saja,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Oleh demikian katanya, melalui beberapa model penyatuan tanah, kawasan penanaman akan diperluas antara 10 hektar ke 50 hektar untuk tanah persendirian.

“Jika ada pihak swasta berminat kita boleh buka untuk kawasan seluas 100 hektar ke 1,000 hektar untuk dimajukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata buat masa ini kadar purata penghasilan padi kawasan jelapang padi adalah sekitar empat ke lima tan metrik sehektar (semusim) dan situasi tersebut tidak akan mampu untuk mengeluarkan golongan pesawah daripada kumpulan B40.

Oleh itu, katanya melalui varieti padi baharu yang diusahakan Universiti Kebangsaan Malaysia (dikenali sebagai RC2 dan RC8) serta Universiti Putra Malaysia (dikenali sebagai PadiU Putra) yang membuktikan mampu menghasilkan sehingga sekitar lapan ke 14 tan metrik padi sehektar diyakini mampu membantu meningkatkan penghasilan padi negara.

“Ini membuktikan kita mampu untuk bukan sekadar meningkatkan SSL daripada tahap 70 peratus kepada 75 peratus dalam tempoh lima tahun tetapi yang lebih penting ia dapat menambah pendapatan pesawah,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel