Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penghantar surat didenda RM5,000 kerana guna dokumen palsu


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang penghantar surat sebuah syarikat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dua dokumen berkaitan surat Darjah Kebesaran yang palsu.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazwan Salleh, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dua dokumen iaitu surat bertajuk 'Cadangan Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong' dan 'Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negara Sempena Majlis Pertabalan Khas Tertutup Raja Yang Dipertuan Agong Dan Pelancaran Yayasan Diraja Malaysia' sebagai tulen yang diketahui merupakan dokumen palsu.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No.14, Jalan Medan Setia 2, Plaza Damansara Heights di sini, pada 8 Ogos 2018 dan 20 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had merayu hukuman ringan kerana anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kaki palsu selain hilang pekerjaan selepas ditahan reman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel