Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op SAR dua anggota tentera hilang di Pulau Perak ditamatkan


Tarikh kemaskini: 06/08/2019




KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat atau Op Carilamat (SAR) dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah, pada 20 Julai lepas, ditamatkan.

Markas ATM menerusi satu kenyataan memaklumkan Op Carilamat ditamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai agensi peneraju atas kesahihan jelas bahawa tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad setelah 72 jam operasi ini dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di Kawasan Operasi Maritim (KOM) di sekitar perairan Pulau Perak telah diarah meneruskan pencarian dan berada di lokasi sehingga 26 Julai lepas namun tiada sebarang petunjuk positif yang ditemui.

"Sehingga kini, kapal TLDM masih berada di KOM sekitar Pulau Perak melaksanakan rondaan maritim dan telah diarah untuk melaporkan segera jika terdapat sebarang petunjuk baharu.

"Manakala sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia juga sentiasa diletakkan di bawah siap sedia untuk diatur gerak dari Pangkalan Udara Butterworth," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut ATM tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota dan sentiasa berpandukan kepada peraturan sedia ada baik dalam maksud pentadbiran, latihan mahupun operasi.

"Segala usaha telahpun dilaksana oleh ATM dan agensi-agensi berkaitan berlandaskan Perintah Tetap Operasi (Standard Operating Procedure) untuk mengesan kedua-dua anggota yang hilang.

"Sebarang dakwaan dari mana-mana pihak bahawa ATM tidak prihatin dalam isu ini adalah tidak benar sama sekali," jelas kenyataan itu.

Pada 20 Julai lepas, dua anggota ATM Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis dilapor hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel