Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu grab didenda kerana sembunyikan wang pelakon tambahan


Tarikh kemaskini: 06/08/2019




SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu Grab hari ini didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM9,000 milik seorang pelakon tambahan  dalam akaun miliknya, pada Mei lepas.

Majistret Sabreena Bakar@Bahari turut memerintahkan Ng Chee Wei, 23, dipenjara lima bulan dan enam bulan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Ng didakwa menolong menyembunyikan wang tunai RM900 milik Mohd Sazali Saminan, 50, ke dalam akaun Maybank milik tertuduh secara pindahan atas talian di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17  pukul 11.31 pagi, pada 20 Mei lepas.

Lelaki itu juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas wang tunai RM8,100 milik individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh menerusi mesin deposit tunai di Maybank cawangan Sungai Buloh pada pukul 5.51 petang, pada tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, dua pelajar kolej swasta, Oon Yee Shin dan Yap Ka Wai, masing-masing berusia 26 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan  menipu Mohd Sazali dengan menjual sebuah kereta jenis Toyota Vios 1.5(A) kepada mangsa di laman jual beli atas talian mudah.my.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa memperdaya Mohd Sazali dengan menjual kenderaan yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam sebuah akaun Maybank secara pindahan atas talian dan mesin deposit tunai.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 dan Maybank cawangan Sungai Buloh pada 11.31 pagi dan 5.51 petang pada 20 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Sept depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel