Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Guna surat palsu mohon maklumat bank pesaing


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




KUANTAN, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang penolong pengurus bank di sini, membuat laporan polis mendakwa telah menerima surat palsu kononnya daripada Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan maklumat perbankan pelanggan bank tersebut. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata pengadu yang berusia 44 tahun mendakwa surat itu diterima pada 24 Julai lepas, dialamatkan ke bank cawangan beliau bekerja. 

“Surat itu didakwa meminta pengesahan kesahihan penyata akaun semasa bagi empat syarikat yang menjalankan operasi pembersihan pejabat bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

“Surat itu dilampirkan bersama salinan penyata akaun yang diminta, bagaimanapun pengadu meragui kesahihan lampiran itu kerana semakan beliau mendapati cop dan tandatangan di dokumen itu palsu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata pengadu juga mendakwa penyata akaun yang dikemukakan adalah berbeza daripada jumlah baki sebenar yang dimiliki syarikat berkenaan.

Susulan itu, pengadu mengesyaki surat tersebut tidak dihantar kementerian, sebaliknya oleh individu yang berkemungkinan mahu menggunakan maklumat perbankan itu bagi merebut peluang kontrak pembersihan. 

Mohd Wazir berkata pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang juruteknik berusia 26 tahun mendakwa kerugian RM35,600 selepas diperdayakan menerusi panggilan telefon kononnya daripada pihak mahkamah dan polis.

Mangsa mendakwa dihubungi suspek lelaki pada Ahad lalu memaklumkan dia perlu hadir ke Mahkamah Terengganu kerana mempunyai kes tunggakan kad kredit sebelum panggilan disambungkan ke ‘balai polis’ bagi siasatan kes pengubahan wang haram. 

“Mangsa mendakwa dirinya disoal siasat oleh pegawai polis wanita berpangkat Inspektor dan diminta untuk menyerahkan semua maklumat perbankan miliknya untuk tujuan siasatan. 

“Dia bagaimanapun menyedari dirinya menjadi mangsa sindiket Macau scam apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bank berhubung tiga transaksi pemindahan wang secara dalam talian yang tidak dilakukannya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel