Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPN Kelantan belum keluar arahan hentikan aktiviti luar kelas


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan belum mengeluarkan surat arahan larangan kepada pihak sekolah daripada melakukan aktiviti di luar bilik darjah susulan pencemaran udara atau jerebu yang dialami negara ketika ini akibat kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Timbalan JPN Kelantan, Abdullah Mat berkata, arahan larangan itu bergantung kepada Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Jika indeks itu memberikan kesan kepada pelajar, pihak kami akan mengeluarkan surat untuk menghentikan segala aktiviti pelajar di luar kelas.

"Indeks JAS memberikan petunjuk kepada kami sama ada melarang dan membenarkan sekolah mengadakan aktiviti luar," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-62 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan negara dilanda jerebu bermula 1 Ogos disebabkan kebakaran hutan di negara terbabit, kebakaran itu dilaporkan berlaku di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mengeluarkan surat bagi mengurangkan atau menghentikan segala akitiviti di luar bilik darjah.

"Kami perlu mendapat arahan daripada JAS untuk mengeluarkan apa-apa arahan kepada pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak sekolah seharusnya melihat sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan satu perkara penting yang perlu dititik beratkan selain daripada pencapaian akademik pelajar.

"Perkara ini harus dihayati dan penting kepada pelajar bagi menyelami sikap pejuang sebelum ini untuk diamalkan dalam hidup bagi mengikuti dunia yang penuh cabaran ketika ini.

"Sangat penting pelajar untuk merasai erti kemerdekaan kerana JPN tidak mahu tanpa sambutan, erti kemerdekaan itu akan pudar dalam kalangan pelajar," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel