Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMK sasar kemasukan 1,000 pelajar asing dalam tempoh lima tahun


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





BACHOK, 7 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan kemasukan 1,000 pelajar asing untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang terutama keusahawanan di universiti itu dalam tempoh antara empat hingga lima tahun akan datang.

Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, pihaknya juga berhasrat menarik minat 500 pelajar dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Thailand, Afrika, Arab dan China untuk menyambung pengajian di universiti itu tahun hadapan.

“Ini memandangkan jumlah pelajar antarabangsa yang belajar di UMK pada masa ini masih rendah iaitu lebih 60 orang sahaja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga universiti Indonesia di UMK di sini, hari ini.

Universiti berkenaan ialah Universitas Mercu Buana Yogyakarta yang diwakili Rektornya Dr Alimatus Sahrah, Universitas Muhammadiyah Riau diwakili Rektor Dr H. Mubarak dan Universitas Islam Malang diwakili Rektor Prof Dr H. Maskuri Bakri.

Noor Azizi berkata, antara jurusan yang akan ditawarkan ialah dalam bidang Sains Bioteknologi, Kewangan Islam dan bidang Keusahawanan yang menjadi teras UMK.

Katanya, kehadiran ramai pelajar asing itu sangat diperlukan untuk memberi peluang kepada pelajar tempatan bergaul dan mengenali budaya masing-masing selain mewujudkan semangat persaingan bagi meningkatkan pencapaian akademik yang lebih cemerlang.

Mengenai MoU berkenaan, beliau berkata dengan termeterainya perjanjian itu pihak UMK dapat mengadakan jalinan kerjasama dan hubungan yang lebih erat antara universiti dan pelajar dari kedua-dua negara.

Beliau berkata, ini termasuk mengadakan pertukaran pelajar, perkongsian program, penyelidikan dan menarik minat pensyarah dari negara itu melanjutkan pengajian yang lebih tinggi termasuk peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UMK.

Noor Azizi berkata sebelum ini, pihaknya telah mengadakan MOU yang sama dengan lapan buah universiti terkemuka di Indonesia.

“Secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri mempromosikan Kelantan sebagai negeri  ‘Serambi Mekah’ dan menggalakkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel