2zXoOP_mwFM Enam bot nelayan Vietnam dan hasil laut bernilai lebih RM6 juta dirampas
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Enam bot nelayan Vietnam dan hasil laut bernilai lebih RM6 juta dirampas


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





KUANTAN, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Polis Marin merampas enam bot nelayan Vietnam dan hasil laut bernilai lebih RM6 juta yang dipercayai menceroboh perairan Pantai Timur, dalam tempoh 15 hari bermula 25 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya juga menahan 85 lelaki warga asing terdiri daripada tekong dan awak-awak bot tersebut. 

Katanya semua mereka ditahan menerusi Operasi Gelora Khas melibatkan 182 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia. 

"Kita berjaya menahan bot nelayan asing terbabit yang berada sekitar 30 hingga ke 100 batu nautika dalam perairan Malaysia bersama kelengkapan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut.

"Suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga ke 60 tahun didapati tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan dalam perairan Malaysia selain ketiadaan dokumen perjalanan," katanya. 

Fisol berkata demikian pada sidang media di Markas Wilayah Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di sini hari ini, yang dihadiri Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman SAC Mohd Yusoff Mamat dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Azahari Othman.

Beliau berkata operasi melibatkan penggunaan 12 buah bot termasuk sembilan aset polis marin dan sebuah helikopter bagi mengesan kehadiran bot nelayan asing di perairan Malaysia. 

"Pihak kami berdepan dengan keupayaan aset yang kurang berkemampuan untuk pergi lebih jauh ke tengah laut berbanding bot yang digunakan nelayan asing. 

"Bot nelayan asing berada antara 30 ke 100 batu nautika dan kita mengambil masa sedikit untuk sampai ke lokasi mereka, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk membanteras kegiatan mencuri hasil laut negara kita," katanya. 

Fisol berkata siasatan terhadap tekong dan awak-awak yang ditahan dilakukan mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 16 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan tanpa kebenaran dan memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel