Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bantuan segera kepada tiga beranak tidur di hospital


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




KUANTAN, 7 Ogos (Bernama) -- Kisah ibu yang terpaksa membiarkan dua anak perempuannya bermalam di lantai lobi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh dekat sini, kerana menjaga suami yang sakit mendapat perhatian sewajarnya. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata kisah keluarga Sarina Endut telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. 

Katanya JKM meluluskan bantuan segera RM300 dibayar secara ‘one-off’ pada Isnin lalu, selain meluluskan Bantuan Kanak-Kanak yang akan dinikmati bermula September ini. 

"Selain itu, untuk keselesaan dan keselamatan dua anak yang masih kecil, Jabatan Kebajikan HoSHAS telah menyediakan bilik percuma di Anjung Kasih hospital untuk penginapan mereka," katanya di sini, hari ini. 

Shahaniza berkata berdasarkan rekod JKM, Sarina, 40, dan suaminya Jamaluddin Uyub, 59, tidak pernah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita terus memberikan bantuan sewajarnya apabila kisah mereka sampai ke pengetahuan kami. Malah ada juga individu termasuk ahli politik yang menyampaikan bantuan peribadi kepada beliau," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata jabatan kesihatan turut memberikan bantuan kewangan tunai kepada Sarina sebaik sahaja kisahnya tular di laman sosial. 

"Kami menerima ramai pesakit setiap hari dan memang ramai yang berehat di lobi hospital termasuk ada yang tidur untuk berehat pada waktu malam. 

"Jadi sebaik sahaja kisah beliau yang terpaksa meninggalkan dua anak yang masih kecil tiba ke pengetahuan, kami berusaha sedaya upaya mendapatkan bilik di Anjung yang pada kebiasaannya sentiasa penuh," katanya. 

Dr Sha'ari juga menasihatkan mereka yang mengalami kesukaran atau mengetahui individu yang mengalami nasib seperti Sarina untuk ke Bahagian Kebajikan Sosial, yang ada di setiap hospital, bagi membuat permohonan bantuan sewajarnya. 

Hari ini, media melaporkan kisah Sarina yang terpaksa meninggalkan anak berusia lapan dan enam tahun tidur di lobi HoSHAS sejak 24 Julai lalu kerana menjaga suami yang ditahan di wad kerana kanser usus. 

Sarina yang akan bergilir-gilir berada di wad dan lobi mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu menyewa bilik atau menampung kos berulang alik dari hospital ke rumahnya di Pulau Tawar, Jerantut yang sejauh 70 kilometer setiap hari. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel