Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Saya juga antara yang menentang Lynas awal dulu - ADUN


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Pihak yang menentang pembangunan kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini, perlu menamatkan kekeliruan yang sudah berlarutan sekian lama. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu berkata pertikaian mengenai kilang yang berasal dari Australia itu sudah mengambil masa hampir 15 tahun dan menjadi 'modal' tiga pilihan raya umum. 

Sedangkan, sejak mula beroperasi dari hujung tahun 2012 hingga kini, pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains, kesihatan dan alam sekitar telah secara konsisten menyatakan Lynas beroperasi dengan baik dan patuh undang-undang. 

"Saya sendiri antara yang menentang semasa awal ura-ura mendengar Lynas hendak dibuka...daripada kawasan itu masih tanah kosong sehingga penghujung tahun 2014. Lynas beroperasi di kawasan saya dan saya sendiri antara penduduk paling hampir dengan kilang itu. 

"Saya pantau sendiri perkembangan dan bacaan di kawasan itu dan dapati tiada sebarang perubahan alam sekitar atau radiasi. Sudah tujuh tahun Lynas beroperasi dan saya akui saya mungkin silap dalam tahun-tahun sebelumnya," kata beliau. 

Andansura berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana dan Solat Hajat anjuran Lynas dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid itu semalam, yang dihadiri ribuan jemaah. 

Beliau juga mengakui penentangannya sebelum ini berdasarkan 'rujukan' sejarah di Bukit Merah, Perak dan kemalangan nuklear di Fukushima, Jepun dan sudah pasti sebagai ADUN di kawasan Lynas beroperasi, tidak mahu kejadian serupa berlaku di sini. 

"Tapi kerajaan meneruskan juga pembangunan kilang itu dan selepas bertahun-tahun, tiada sebarang kesan berlaku. Saya berpandangan kita telah membuat persepsi yang salah sebelum ini kerana operasi Lynas berbeza daripada Bukit Merah dan Fukushima. Lynas juga dikawal ketat pihak berwajib. 

"Saya berharap mereka yang menentang untuk sama-sama buangkan ego atau kepentingan politik kerana Lynas sama seperti kilang lain di Gebeng. Sudah tiba masanya untuk kita maju ke depan kerana sains sudah menunjukkan bukti," katanya. 

Sebagai contoh lain, Andansura berkata pada awal rancangan penubuhan Lynas, terdapat pihak yang mengatakan kewujudan kilang itu akan menyebabkan nilai hartanah di situ merundum ekoran 'orang ramai bimbang terkena radiasi jika menetap di situ'. 

Namun apa yang berlaku, menurut beliau adalah nilai rumah di situ semakin meningkat ekoran pembangunan di kawasan perindustrian Gebeng selain lebih banyak projek perumahan mula bertapak di sekitar kawasan itu kerana permintaan tinggi. 

Andansura berkata beliau difahamkan Lynas mengalu-alukan mereka yang mahu berbincang tentang operasi mereka dengan profesional dan matang berserta fakta, yang beliau sendiri bersedia menjadi orang tengah dalam hal tersebut. 

"Perkara seperti Lynas memerlukan pandangan pakar, bukan merujuk mereka yang menimbulkan persepsi. Apa yang diceritakan awal dahulu, tidak benar dan tidak salah untuk kita akui kesilapan kerana semasa itu kita tidak mendapat maklumat yang betul," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel