Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JBS Kelantan anjur Larian Patriotik berkonsep larian lasak laluan pantai


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan akan menganjurkan Larian Patriotik 'National Eco Race Kelantan 2019' pada 6 dan 7 Sept ini yang berkonsep larian lasak secara solo.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Abd Rahman berkata larian lasak itu bercirikan penyertaan ramai untuk memberi peluang kepada peminat-peminat rekreasi selain memupuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Beliau berkata larian akan bermula di Tapak Ekspo Pantai Irama Bachok terus menuju ke Pantai Damat, Kampung Perupok, Merabang, Kemasin, Kubang Golok dan berpatah balik ke garisan penamat di Pantai Irama.

"Apa yang menarik laluan 5 kilometer (km) pertama akan melalui dua buah kubu zaman perang serta melalui dua patung tokong setinggi 20 meter yang menjadi tarikan pelancong ke Kelantan.

"Peserta juga dapat melihat patung Buddha yang kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Myanmar, iaitu tarikan bagi peserta beragama Buddha. Selain itu, peserta akan melalui pangkalan nelayan yang mana terdapat bot-bot nelayan tempatan," katanya kepada pemberita pada sidang media sebelum pertandingan Boling Bersama Media di sini, malam tadi.

Mohammad berkata aktiviti berbentuk larian seperti larian santai, mini marathon, eco-challange dan seumpamanya sangat diminati oleh masyarakat masa kini dan ini adalah kesan daripada perubahan gaya hidup lasak dan mencabar.

Katanya penganjuran aktiviti larian lasak seperti ini mampu memberi impak positif kepada pembentukan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.

"Larian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu Malaysia Open (Lelaki/Wanita) jarak 20 km, Malaysia Youth (Lelaki/Wanita) jarak 15 km, Fun Run (5 km) dan Kid Fun Run (1.5 km).

"Larian ini juga menawarkan hadiah berbentuk wang, medal dan sijil penyertaan. Kita menyasarkan seramai 2,000 penyertaan untuk larian ini yang bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob," katanya.

Katanya orang ramai yang ingin menyertai boleh mendaftar secara dalam talian dengan melayari laman Facebook dan carian Larian Patriotik Kelantan dan tekan ‘Sign Up’ atau mendapatkan borang secara manual melalui urus setia dengan menghubungi Ab Qader di talian 019-9766722, Achik 0139676991 atau Khoo Than 014-8068980.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel