Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MB Selangor nafi wujud pergolakan dalam pentadbirannya


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan wujudnya pergolakan dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam.

Beliau berkata laporan berita yang mengatakan pergolakan tersebut disebabkan cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur adalah tidak tepat kerana pemimpin dalam kerajaan Selangor masih bekerja secara muafakat sebagai satu pasukan.

"Laporan tidak tepat malah ia tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana sehingga hari ini, pentadbiran Selangor kekal bermuafakat. (Malah) Saya sendiri masih mempengerusikan mesyuarat exco dan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

"(Walaupun) ada beberapa perkara yang kita (pentadbiran Selangor) tidak sependapat tetapi ada banyak isu lain yang kita bersama-sama mencapai sepakat. Ia tidak menghalang kita daripada terus bersatu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MTES, di sini hari ini.

Turut dilihat meninggalkan mesyuarat berkenaan adalah kesemua empat exco bukan Islam kerajaan Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau, Ng Sze Han dan Hee Loy Sian.

Terdahulu, keempat-empat exco berkenaan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini kira-kira dua jam sejak pukul 11 pagi.

Difahamkan, keempat-empat exco itu menghadap Sultan Sharafuddin susulan membuat permohonan tersebut pada 25 Julai lepas bagi membincangkan beberapa perkara dan dipercayai turut melibatkan cadangan pindaan enakmen berkenaan.

Semalam, sebuah portal berit melaporkan bahawa Amirudin dijadual berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini kerana pentadbirannya dikatakan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Mengulas mengenai cadangan pindaan enakmen berkenaan, Amirudin berkata terdapat banyak lagi proses yang perlu dilakukan dan pihaknya akan berbincang dengan lebih lanjut serta meneliti usul tersebut sebelum dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Portal berita itu turut melaporkan mengenai dakwaan penyingkiran Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim daripada jawatannya selain cubaan pihak tertentu mahu melucutkan Amirudin sebagai Menteri Besar.

Mengulas mengenai dakwaan penyingkiran Ng dikatakan kerana enggan 'memberi laluan' kepada pembentangan usul pindaan enakmen itu dengan menangguhkan sidang DUN sesi kedua tahun ini lebih awal daripada jadual, Amirudin berkata ia hanyalah khabar angin.

"Nama pun khabar angin. Saya ada banyak kerja dan perlu fokus kepada kerja saya. Biarlah khabar angin itu 'mati' seperti mana terkorbannya haiwan pada hari raya korban (Aidiladha)," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Elizabeth Wong Kiat Ping dalam satu kenyataan menyifatkan desas-desus bahawa Amirudin sedang berhadapan undi tidak percaya hanyalah untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri.

Katanya, ia dilihat disebarkan oleh 'tangan-tangan ghaib' seperti mana dakwaan mengenai pemecatan Speaker DUN yang sebenarnya juga adalah satu khabar angin.

"Khabar angin tersebut hanya direka bagi tujuan mewujudkan ketegangan antara Menteri Besar dengan Speaker DUN sekali gus memecahbelahkan kesatuan Pakatan Harapan (PH) Selangor," katanya yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Selangor.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel