Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 1,700 lif di Pulau Pinang guna CF tamat tempoh - JKKP


Tarikh kemaskini: 09/08/2019





Oleh Balkish Awang

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,746 unit lif dari 6,707 unit yang beroperasi di Pulau Pinang telah tamat tempoh sah laku perakuan kelayakan (CF) dan masih belum diperbaharui, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Jaafar Leman.

Menurutnya jumlah lif yang tamat tempoh sah CF ini bukan hanya melibatkan premis bangunan kediaman seperti pangsapuri tetapi turut melibatkan kategori bangunan-bangunan lain.

“Menjalankan operasi lif yang tamat tempoh sah laku CF adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 19(1) Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukkan denda sehingga RM150,000 atau kompaun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata isu CF tamat tempoh sah laku adalah di antara aduan utama yang diterima JKKP di negeri ini sepanjang tahun ini, selain kes-kes terperangkap di dalam lif, operasi terhenti secara tiba-tiba dan tempoh menunggu bantuan serta lif dalam keadaan tidak selamat.

"Semua isu tersebut adalah menjadi tanggungjawab pemunya atau pemilik lif bersama Firma Yang Kompeten (FYK) yang diiktiraf oleh JKKP bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Jaafar berkata di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, setiap lif tidak kira sama ada baharu atau lama hendaklah memperolehi CF yang sah untuk tempoh maksima 15 bulan. 

"Proses memperolehi sijil berkenaan dijalankan melalui pemeriksaan serta pelantikan FYK bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan jaminan lif agar senantiasa digunakan dengan baik dan selamat,  para penduduk atau pengguna di pangsapuri juga perlu menjalankan tanggungjawabnya berkaitan yuran penyelenggaraan yang dikenakan dan tidak merosakkan kelengkapan yang dipasang.

“Selain itu pemunya juga hendaklah memastikan lif diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan dan beroperasi dalam keadaan baik dan selamat kepada pengguna untuk jangka masa yang lama," katanya.

Katanya pengguna perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan tahu risiko bahaya mengenai lif dan pemilik lif hendaklah memastikan lif diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan melalui lantikan FYK.

Jaafar berkata pemilik juga perlu memaklumkan Jabatan sekiranya terdapat perubahan di dalam lantikan FYK dan firma ini perlu memastikan pemeriksaan dan penyelenggaraan lif mengikut standard yang telah ditetapkan dan perlu direkodkan.

“FYK juga perlu memaklumkan kepada pemilik sebarang penambahbaikan yang perlu untuk memastikan lif sentiasa berada dalam keadaan selamat, selain bertindakbalas dengan cepat ke atas setiap kerosakan yang dilaporkan atau dalam kerja-kerja menyelamat," katanya.

Isu penyelenggaraan lif hangat diperkatakan sejak insiden sebuah lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi, Kuala Lumpur yang menyebabkan lapan kecederaan awal bulan ini.

Katanya di Pulau Pinang berlaku satu kejadian lif bergerak turun pada kadar yang agak laju di antaratingkat-tingkat 29 dan 12 sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada 23 Julai lepas namun tiada kecederaan dilaporkan dan insiden disebabkan kegagalan mekanikal. 

 -- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel