Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Seorang lelaki, wanita rakyat Singapura hilang ketika kayak di perairan Mersing


Tarikh kemaskini: 09/08/2019




JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki dan wanita rakyat Singapura dilapor hilang ketika berkayak di perairan Mersing semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, yang hubungan kedua-duanya ialah sebagai rakan, dilaporkan hilang kira-kira 5.40 petang.

"Kedua-dua mereka (Tan dan Puah) bersama 15 lagi rakan lain memulakan aktiviti berkayak dari Jeti Penyabong, Mersing pada 10 pagi. 

"Kira-kira 5.40 petang, semasa berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di perairan Endau dekat Mersing, mereka dipercayai terpisah daripada kumpulan rakan berikutan laut bergelora dan angin kuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata usaha mencari Tan dan Puah dilakukan rakan-rakannya, namun, gagal lalu seorang daripada rakannya membuat laporan di Balai Polis Rompin, Pahang pada 10.30 pagi tadi. 

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Tan dan Puah melibatkan empat anggota dari Balai Polis Endau, sebuah bot marin bersama empat anggota, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta sebuah bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama lima anggota.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang, kata Mohd Nor.

Sementara itu, APMM menerusi kenyataan berkata operasi SAR digerakkan pada 3.30 petang tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat turut ditubuhkan di Jeti Penumpang Penyabong, Endau dekat Mersing.

Tan dan Puah menaiki kayak berwarna hijau terang, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel