Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi mencari Nora Anne diperkuat dengan kehadiran komando VAT 69


Tarikh kemaskini: 09/08/2019





NILAI, 9 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warganegara Ireland yang dilaporkan hilang Ahad lalu, diperkuat lagi hari ini dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata dua pegawai dan 21 anggota VAT 69 telah melapor diri di sini hari ini.

"Kami akan guna apa juga sumber manusia yang kita ada. VAT 69 adalah pasukan elit yang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk membantu operasi ini," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban, berhubung usaha mencari remaja itu, Nora Anne Quoirin,15.

Selain itu, tiga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Cheras, Kuala Lumpur turut membantu operasi hari ini, menjadikan kekuatan anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan kini menjangkau 261 orang.

Che Zakaria berkata operasi SAR itu diteruskan malam ini dengan penggunaan sembilan dron milik polis dan swasta yang dilengkapi teknologi pengesan haba.

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Nora Anne dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarga pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini, dan remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi keesokan harinya.

Che Zakaria berkata tiada sebarang petunjuk kukuh ditemui setakat ini dalam misi mencari Nora Anne, sekali gus menafikan dakwaan kononnya pasukan SAR menemui kesan tapak kaki mangsa seperti dilaporkan beberapa media. 

Jelasnya, skop siasatan turut merangkumi aspek komunikasi termasuk log panggilan dan emel resort berkenaan. 

Ditanya sama ada tingkap yang dipercayai digunakan Nora Anne untuk keluar boleh dibuka dari luar atau sebaliknya, Che Zakaria berkata ia boleh dibuka dari luar sekiranya tidak berkunci. 

"Setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai siasatan orang hilang, dan elemen pihak Jabatan Siasatan Jenayah telah dilibatkan sejak hari pertama operasi, dan setiap hari ia ditingkatkan, termasuk kerjasama dengan Interpol,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel