twJjfC6Rzco Ribut, hujan lebat landa Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebelah malam
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ribut, hujan lebat landa Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebelah malam


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam ini, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, dan kejadian bumbung diterbangkan angin, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas, dilaporkan.

Di Pulau Pinang, angin yang bertiup kencang bermula kira-kira pukul 10.00 malam diikuti hujan lebat di seluruh negeri menyebabkan kes-kes pokok tumbang merentangi jalan raya dilaporkan di beberapa lokasi di George Town, Seberang Perai dan juga Balik Pulau, sehingga ada yang menghempap kenderaan dan ada juga yang menghalang lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar  Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata setakat ini lima orang dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

"Kesemua mereka adalah penduduk di kawasan Bagan, berikutan bumbung rumah serta gerai tempat mereka berniaga diterbangkan ribut dan terkena mereka. Mereka mengalami kecederaan luka di beberapa bahagian badan dan kepala," katanya di sini malam ini.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dalam kejadian ribut berkenaan.

Jabatan itu turut menerima laporan kejadian pokok tumbang sekitar jalan Paya Keladi, Kepala Batas, Lahar Yooi, Pokok Sena,Tasek Gelugor,Penaga,Bertam dan Kepala Batas di bahagian Seberang Perai manakala di bahagian pulau pula melibatkan Persiaran Gurney, Tanjung Bungah, Jalan Baharu Balik Pulau,Batu Feringghi dan Bayan Lepas.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memaklumkan pihaknya sudah mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis dan Respon Team MPSP bagi membantu kawasan yang terlibat dengan kejadian ribut.

Katanya orang ramai boleh terus menghubungi pihak MPSP bagi menyalurkan maklumat kejadian pokok tumbang dan rumah ditimpa pokok bagi  membolehkan pihaknya memberi bantuan segera.

Di Langkawi, Kedah, kira-kira enam lokasi di pulau peranginan ini dibadai ribut dalam kejadian yang bermula lewat petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata enam lokasi itu ialah Kedawang, Bohor, Padang MatSirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.

"Hujan lebat beserta angin yang kencang melanda kawasan itu kira-kira pukul 8.00 malam menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan ditimpa pokok. Di jalan-jalan utama pula terdapat pokok yang tumbang dan menghalang lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Kangar, Perlis, hujan lebat disertai angin kencang melanda seluruh negeri hampir sejam bermula kira-kira pukul 8.00 malam ini, mengakibatkan banyak bangunan, premis kediaman dan perniagaan khemah-khemah perniagaan rosak.

Beberapa kejadian pokok tumbang serta kabel elektrik melintang di tengah jalan raya di samping kemalangan-kemalangan kecil turut dilaporkan berlaku.

Tinjauan Bernama mendapati gerai-gerai dan khemah di Dataran 350 di  Kangar yang didirikan untuk peniaga sempena Hari Raya Haji musnah dipukul angin kuat, dan sehingga pukul 10 malam ini hujan lebat yang disertai angin kuat masih berlaku di bandar Kangar.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam yang dihubungi berkata anggota-anggota agensi itu telah dikerah membantu mangsa dan membersihkan jalan-jalan yang terhalang oleh pokok-pokok yang tumbang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan gambaran penuh kerosakan yang berlaku ketika ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel