Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis buru baki dua orang geng tebuk


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





MELAKA, 10 Ogos (Bernama) -- Polis Melaka sedang giat memburu baki dua lelaki warga asing dari Geng Tebuk yang berjaya meloloskan diri, selepas berbalas tembakan di persimpangan Jalan Tasek Utama, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada kira-kira 2.30 pagi ketika melakukan risikan terhadap kumpulan pecah peti besi yang aktif sejak tahun 2018 menerusi ‘Ops Tebuk’, telah menahan sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Bagaimanapun kereta yang dinaiki empat orang lelaki warga asing itu, cuba meloloskan diri dari pemeriksaan polis, hingga berlaku kejar mengejar sejauh kira-kira dua kilometer.

“Kereta yang dinaiki suspek kemudianya terbabas di bahu kiri jalan TU 16, dan seorang suspek di tempat duduk penumpang hadapan bertindak melepaskan tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi melibas parang untuk menyerang anggota polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu telah ditembak mati, manakala dua lagi berjaya melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama enam kelongsong peluru, satu bilah parang panjang, anak kunci kereta jenis Nissan, sebuah mesin grinder (penebuk) jenama Bosch, empat keping mata grinder, tiga bilah parang berhulu kayu, satu pemotong besi dan mesin penebuk dinding jenama Bosch.  

“Polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah pejabat dan pecah peti besi keselamatan, sejak 2018 di Melaka, dengan anggaran kerugian RM172,000 pada tahun ini dan masih giat memburu dua lagi suspek yang melarikan diri.

Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh dan mencuri kenderaan.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel