Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

IIP Miri catat status kualiti udara tahap bahaya


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





KUCHING, 10 Ogos (Bernama) -- Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), Jabatan Alam Sekitar yang direkodkan pada hari ini pada pukul 3.00 petang menunjukkan Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan status kualiti udara tahap bahaya iaitu pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 390.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu bahawa satu stesen di SK Kuala Baram 2 mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat, manakala 11 stesen lagi di sekitar kawsan berkenaan menunjukkan bacaan sederhana.

“Stesen pemantauan kualiti udara di kawasan ILP Miri dan SK Kuala Baram 2 Sarawak menunjukkan peningkatan bacaan IPU ketara yang disebabkan oleh kebakaran di kawasan berkenaan. Peningkatan bacaan IPU lain-lain stesen diakibatkan oleh jerebu rentas sempadan yang berlaku di Kalimantan,” katanya.

Menurutnya berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 9 Ogos 2019, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-19, mengesan 93 titik panas di Kalimantan, dan empat titik panas di Sumatera, Indonesia, manakala dua lagi titik panas dikesan di Sibu dan satu di Mukah, Sarawak.

Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan yang terjejas ke kawasan Barat Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan terbabit.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata situasi jerebu yang tinggi dicatatkan di Miri itu merupakan ‘jerebu setempat’ dan pemantauan bacaan IPU akan dilakukan secara berterusan.

“Walaupun bacaan IPU ini adalah sangat tinggi tetapi ia tidak memerlukan tindakan seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019 kerana keadaan bersifat sementara dan kualiti udara akan dipantau dalam masa 24 jam seterusnya,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menggambarkan keadaan adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk bacaan IPU semasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel