Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Adiknya berhemah, jarang memandu laju - Kakak


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





ALOR GAJAH, 10 Ogos (Bernama) -- Pemandu Isuzu D-Max, Azahar Ahmad, 57, yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa malam tadi, merupakan seorang yang berhemah dalam pemanduan dan jarang memandu laju, kata kakak mangsa, Zainon Ahmad, 74.

Justeru anak ketiga daripada 14 beradik itu berkata dia dan keluarga terkejut dengan kejadian yang menimpa Azahar dan seorang lagi adiknya, Habibah, 62; isteri Azhar, Halimahtun Aris Padzil, 24; dan dua anak mereka Alia, 17; dan Alisa, 15 dalam kemalangan malam semalam.

Beliau berkata dia menerima berita menimpa dua adiknya itu daripada ahli keluarga terdekat, kira-kira 1 pagi dan menyuruhnya bertenang kerana khuatir sesuatu menimpa dirinya yang menghidap penyakit darah tinggi.

"Saya terkejut dan menggigil bila dimaklumkan berita menimpa mereka, sebab setahu saya Azahar bukan seorang yang suka memandu laju dan selalunya dia berhati-hati.

"Arwah (Azahar) memang selalu balik ke rumah ini bila cuti, kerana ia rumah pusaka dan diduduki Habibah dan arwah suaminya. Setiap tahun dia akan balik beraya di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Allahyarham Habibah di Kampung Brisu di sini, hari ini.

Jenazah Azahar dan Habibah yang disembahyangkan di Masjid Brisu di sini  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Pering di Brisu kira-kira 5.30 petang.

Zainon berkata Azahar yang merupakan  pegawai Felcra Berhad di Seri iskandar, Perak tiba di rumah Habibah pada Khamis, dan tidur semalam di rumah itu sebelum bergerak ke Yong Peng, Johor untuk mengambil dua anaknya, Alia dan Alisa di rumah bekas ibu mentuanya, Zaleha Nikmat, 62.

"Azahar dan Habibah sangat rapat. Dia (Azahar) selalu balik ke sini dan turut bersama Habibah menjaga rumah pusaka ini, kerana Habibah tinggal seorang diri," katanya yang tinggal di Kampung Solok Uban di sini.

Anak Azahar, Azri, 30, berkata kali terakhir beliau berhubung dengan arwah ayahnya melalui WhatsApp pada 2 Ogos lepas, dan bapanya itu berpesan kepadanya untuk menjaga kesihatan.

Beliau yang bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta di Kuantan, Pahang berkata bapanya seorang yang tegas tetapi tetapi mengambil berat tentang dirinya.

"Agak terkejut sebab hilang serentak kerana semua yang meninggal rapat dengan saya, termasuk dua anak ayah hasil perkahwinan keduanya," katanya yang merupakan anak sulung dan tunggal bersama bekas isteri pertama bapanya.

Selain lima sekeluarga, seorang lelaki berusia 51 tahun turut terkorban, dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan pada 9.40 malam semalam. Kejadian itu turut menyebabkan anak perempuan lelaki itu cedera parah, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel