MAQIS tumpaskan cubaan seludup komoditi pertanian di Johor semalam
Tarikh kemaskini: 10/08/2019

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas pelbagai produk pertanian, menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Laluan Kereta Import Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, tengah malam semalam.
MAQIS dalam satu kenyataan hari ini berkata rampasan terdiri daripada 4.3 kilogram (kg) daging ayam sejuk beku, masing-masing 2.1 kg (daging babi dan itik sejuk beku), 1.65 kg (karkas tulang sejuk beku), 2.3 kg (buah limau), 1.15 kg (daging babi dalam tin), 0.5 kg (ikan sardin dalam tin), makanan ikan dan tiga jenis ikan hidup iaitu haruan, bandaraya dan harimau siam.
“Rampasan dibuat kerana pemandu kenderaan terbabit, seorang lelaki tempatan, gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan MAQIS terhadap semua produk berkenaan.
“Difahamkan barangan seludup itu diperoleh dari Singapura untuk kegunaan sendiri,” katanya.
MAQIS berkata konsainan telah disita untuk tindakan lanjut, dan kes pula akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta sama.
MAQIS berkata kawalan import di pintu masuk negara akan sentiasa dipergiatkan lagi, bagi memastikan konsainan yang diimport mematuhi kehendak perundangan seperti bebas perosak, penyakit dan bahan tercemar demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
|