Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keriangan lima keluarga sambut Aidiladha musnah, rumah dijilat api


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Keriangan lima keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok musnah apabila rumah teres setingkat mereka di Taman Sinaran Kempas, di sini, terbakar hari ini.

Kebakaran pada pukul 10 pagi itu mengakibatkan tiga rumah musnah kira-kira 90 peratus manakala dua lagi rosak kira-kira 40 peratus.

Menurut salah seorang pemilik rumah berkenaan, Nur Hidayah Mohd Hamdan, 30, kejadian dipercayai berlaku akibat kebocoran gas memasak di rumah jiran sebelahnya.

“Sebelum kejadian terdapat satu letupan yang kuat berlaku, disusuli dengan kebakaran dan api merebak sangat cepat ke rumah-rumah lain.

“Kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri, bagaimanapun semua persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok musnah. Kami tabah dan redha dengan ujian ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nur Hidayah berkata mereka kini menumpang di rumah ibu saudara mereka yang terletak berdekatan dengan taman tersebut. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Saiful Bahri Bahar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 10.23 pagi dan menghantar 27 anggota dan lima jentera untuk memadamkan kebakaran.

“Bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Punca sebenar dan anggaran kerugian akibat kejadian itu masih disiasat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel