Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Petugas media antara yang turut ‘berkorban’ sambutan hari raya demi SAR Nora Anne


Tarikh kemaskini: 10/08/2019




NILAI, 10 Ogos (Bernama) -- Selain anggota pasukan keselamatan yang bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15; yang turut sama akan melupakan sambutan Hari Raya Aidiladha ini demi tuntutan tugas dalam liputan misi mencari remaja dari Ireland itu, adalah kumpulan petugas media.

Walaupun pada hari raya ini mereka tidak berpeluang bersama keluarga, rata-rata menyifatkan pengorbanan itu adalah antara asam garam dalam melaksanakan tanggungjawab menyalur maklumat kepada orang ramai tanpa apa-apa alasan apabila suasana memerlukan.

Sejak berminggu lebih awal lagi Nur Natasha Aida Ismail, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sudah berkira-kira untuk balik ke kampung halaman di Johor Bahru pada sambutan Hari Raya Aidil Adha Ahad ini, malah cuti sudahpun diluluskan.

Namun melihat perkembangan semasa sejak kehilangan remaja itu dilaporkan Ahad lepas, beliau tidak perlu menunggu arahan mana-mana pihak atasan untuk membatalkan dengan sendiri cutinya itu, kerana tuntutan liputan itu memang difahami, lebih mendesak.

Bagi Azzman Abdul Jamal, 29, wartawan dari Berita Harian pula, karier sebagai seorang wartawan memang tidak boleh lari dari arahan untuk bertugas semasa Hari Raya dan ia bukan sesuatu yang sia-sia.

“Sepanjang lima tahun bekerja, sudah beberapa kali saya bertugas semasa hari raya dan boleh dikatakan saya sudah agak terbiasa, tapi meskipun bertugas, saya akan usaha untuk cari masa tunaikan solat sunat hari raya, walau tidak dapat beraya bersama keluarga sekurang-kurangnya suasana raya itu dapat dirasai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Nurashikin Haron, 24, wartawan RTM pula berkata kebiasaanya persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha akan dibuat bersama ibunya.

“Tahun lepas saya masih belajar tetapi tahun ini sudah bekerja, jadi keadaan sudah tidak sama. Ini pengalaman pertama saya bekerja semasa hari raya. Keterujaan untuk bertugas semasa hari raya tu memang tidak dinafikan tetapi dalam masa yang sama hati berbelah bahagi juga bila fikir esok raya.

Sementara itu, seorang wartawan penyiaran antarabangsa dari RTE News Jackie Fox menzahirkan ucapan raya dan kagum dengan semangat petugas media dan anggota pencarian yang terlibat.

“Saya tahu (Aidiladha) amat istimewa dalam kalender kaum Muslim, waktu untuk sambutan bersama kaum keluarga dan yang tercinta. Saya rasa seluruh rakyat Ireland menghargai semua anda yang terbabit dalam misi pencarian Nora di sini, dan juga penduduk tempatan yang sentiasa berdoa untuk keselamatan Nora dan keluarganya. Lebih-lebih lagi di waktu yang sukar ini, dilalui semasa ia seharusnya menjadi hari istimewa untuk disambut bersama sanak saudara dan keluarga anda,” katanya.

Ahad lepas, remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini, dan misi pencarian masih diteruskan sehingga kini tanpa mengira siang, malam, ataupun dalam apa jua keadaan cuaca.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel