Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

508 rumah terjejas akibat ribut semalam, kerajaan negeri akan hulur bantuan


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





SABAK BERNAM, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada penduduk di sekitar Sabak Bernam, Sungai Besar dan Sekinchan yang terjejas akibat ribut pada malam semalam.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 508 buah rumah di sekitar daerah itu yang telah rosak akibat ribut berkenaan.

"Buat masa ini pejabat daerah telah menyerahkan wang bantuan awal sebanyak RM500 bagi setiap rumah dan bantuan seterusnya dijangka diserahkan paling awal dalam tempoh seminggu.

"Pada Khamis depan jawatankuasa bencana akan membentangkan kepada saya apa jenis bantuan yang perlu diluluskan mengikut jenis kerosakan yang dialami oleh penduduk yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah-rumah yang terjejas akibat ribut berkenaan di sini hari ini.

Amirudin berkata bantuan akan dihulurkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan antaranya Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Negeri Selangor.

"Bagi mereka yang tiada di dalam senarai penerima bantuan agensi ini, kerajaan negeri akan salurkan bantuan kepada mereka menggunakan peruntukan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa ribut berkenaan Roslani Mohd Mokhtar, 48, berkata ketika kejadian, beliau sekeluarga sedang bersiap untuk tidur.

"Pada mulanya, saya sangkakan bunyi besi berlaga disebabkan angin kuat, tapi sangkaan saya salah bila melihat sendiri ribut menerbangkan bumbung ruang tamu. 

"Dalam keadaan angin kuat dan hujan lebat, saya sekeluarga berlari keluar untuk berlindung di rumah jiran terdekat," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Siti Rahnah Giman, 68, berkata, ketika kejadian dia baru melelapkan mata dan ribut yang melanda rumahnya telah menyebabkan sebahagian bumbung tercabut.

“Saya tidak jadi tidur kerana bimbang keselamatan ahli keluarga lain yang ada dalam rumah ketika itu.

“Kejadian ribut berlaku lebih 10 minit menyebabkan bumbung zink rumah saya diterbangkan angin dan disebabkan keselamatan, kami terpaksa berlindung di tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha kelong memancing di sini, Anuar Hambali kerugian kira-kira RM150,000 apabila tiga daripada empat kelongnya rosak teruk akibat ribut berkenaan.

"Kejadian dalam pukul 1 pagi hingga 2.50 pagi tadi, saya pergi periksa kelong yang terletak kira-kira satu batu nautika dari sini dalam pukul 3 pagi lihat tiga kelong saya musnah, masa itu hanya ada tiga pemancing atas kelong, dan nasib baik mereka tidak cedera," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel