Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Petugas SAR sempat tunai solat Aidiladha


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





NILAI, 11 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang memasuki hari kelapan hari ini tetap diteruskan walaupun hari ini adalah Hari Raya Aidiladha.

Meskipun terpaksa melupakan hasrat untuk bersama keluarga tersayang menyambut Hari Raya Korban demi operasi SAR, namun anggota operasi tetap diberikan pelepasan untuk menunaikan solat sunat hari raya.

Anggota SAR termasuk Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar bersama kira-kira 500 jemaah mula memenuhi Masjid Kariah Pantai, Seremban sejak pukul 7 pagi untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam 1 masjid, Abdul Khahar Sukin.

Abdul Khahar dalam khutbahnya menyentuh mengenai penghayatan ibadah haji dan korban sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT serta mengingatkan sidang jemaah pentingnya mengerjakan segala perintah Allah selain menghayati konsep bersedekah menerusi ibadah korban.

Selesai solat, semua jemaah termasuk anggota SAR dijamu dengan hidangan kuih-muih, ketupat dan rendang yang disediakan penduduk setempat.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee berkata walaupun hari raya, operasi mencari tetap diteruskan malah sudah bermula pagi tadi dan setakat ini moral pasukan masih berada di tahap tertinggi.

"Untuk operasi SAR hari kelapan ini, kami gunakan pelbagai teknik pencarian untuk mengesan mangsa. Kami berharap rakyat Malaysia terus mendoakan operasi ini berjalan lancar dan berjaya menemui mangsa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas solat itu.

Operasi SAR bagi mengesan Nora Anne membabitkan seramai 317 anggota termasuk pasukan elit Polis Diraja Malaysia iaitu pasukan komando VAT 69, setakat semalam.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada Sabtu untuk percutian dua minggu di negara ini dan bermalam di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, di lokasi kejadian, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekejap-sekejap sejak pukul 10 pagi.

Cuaca ini dijangka terus memberi cabaran kepada pasukan SAR sepanjang operasi. 

Meskipun hujan, anggota operasi kekal meneruskan misi dengan meredah hujan dalam suhu yang agak sejuk pagi ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel