Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah kena pasti kawasan untuk hidupan liar


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





SEMPORNA, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah akan mengenal pasti keluasan kawasan di negeri ini untuk dijadikan tempat tinggal dan pembiakan hidupan liar, khususnya haiwan yang diancam kepupusan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melindungi dan memastikan kelangsungan kehidupan haiwan berkenaan yang menjadi khazanah negeri ini.

"Saya telah meminta Datuk Christina Liew (Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) untuk mengenal pasti beberapa kawasan untuk kita tempatkan haiwan-haiwan ini.

"Ia akan menjadi seperti di Afrika yang ada Taman Negara Serengeti yang mempunyai beribu-ribu ekar tanah untuk menempatkan hidupan liar," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat sunat Aidiladha di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata kawasan itu bukan sahaja akan menempatkan hidupan liar, tetapi juga sebagai satu tarikan pelancong untuk melihat usaha baik negeri ke arah memelihara hidupan liar di Sabah.

Beliau berkata Liew telah ke Jakarta untuk berbincang mengenai konservasi badak sumbu Sumatera dengan Ketua Pengarah Sumber Asli dan Konservasi Ekosistem Indonesia, Wiratno.

Langkah itu juga, katanya,  bagi menjalin kerjasama untuk menjalankan pembenihan zuriat ke atas satu-satunya badak sumbu Sumatera di Malaysia bernama Iman, yang ditempatkan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

"Badak sumbu satu-satunya di Malaysia ini tidak akan berupaya untuk melahirkan generasinya kerana tidak ada teman dan disebabkan itulah saya meminta Datuk Christina untuk ke Jakarta agar satu usaha dapat dilakukan bersama Indonesia.

"Alhamdulillah, pihak berkuasa Indonesia telah bersetuju dan kita berterima kasih atas kerjasama baik mereka untuk memenuhi hasrat kerajaan negeri melindungi haiwan ini daripada pupus," katanya.

Satu memorandum persefahaman bagi maksud itu dijangka ditandatangani antara kerajaan Indonesia dan Sabah bulan depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel