Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UNESCO Geopark: Langkawi positif diberi kad hijau buat kali ketiga


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





LANGKAWI, 11 Ogos (Bernama) -- Proses revalidasi semula status Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) yang berakhir hari ini memberi gambaran positif dengan kemungkinan satu lagi 'kad hijau' buat pulau peranginan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata biarpun keputusan hanya akan diketahui selewat-lewatnya Disember nanti, dua pakar Dr Kirstin Lemon dari Ireland dan Sigurður Sigursveinsson dari Iceland dilihat memberi maklum balas yang baik terhadap konsep geopark yang diterapkan kepada pulau bersama komunitinya.

"Selepas lima hari ini kita nampak satu respons yang positif daripada mereka berdua. Mengikut prosedur kita hanya akan tahu secara rasmi dari pihak UNECSO sekitar April atau Mei tahun depan tetapi ada beberapa langkah juga yang perlu dilalui bulan Disember Inshallah kita akan tahu sama ada kita dapat kad hijau atau kuning.

"Saya kira daripada interaksi kita dengan mereka berdua sepanjang lima hari termasuk sesi ‘de-briefing’ malam tadi nampaknya positif," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidiladha di Inap Desa Bukit Tangga di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Dr Kirstin Lemon dan Sigurður Sigursveinsson sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini untuk meneruskan penerbangan ke Amsterdam, Belanda pada sebelah malam.

Langkawi diisytihar sebagai sebuah Geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1 Jun 2007.

Status itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian semula yang dilaksanakan setiap empat tahun, sekali gus meletakkannya sebagai Geopark pertama di rantau Asia Tenggara.

Hezri turut berkongsi cadangan yang diberikan oleh dua pakar itu supaya pulau ini menjalinkan kerjasama dengan UNECSO Geopark khususnya di Eropah.

"Ketika ini jaringan Langkawi Geopark lebih kepada UNESCO Geopark di Asia Pasifik mereka berdua mencadangkan supaya kita juga berhubungan dengan Geopark di Eropah kerana dari segi sejarah ada dua jalur berbeza satu pergerakan di Eropah dan satu lagi di Asia Pasifik. 

"Nampaknya dalam 12 tahun lepas kita lebih dekat dengan rakan-rakan geopark di rantau Asia Pasifik," katanya.

Pulau pelancongan ini mendapat status UGG ke-52 daripada 147 Geopark dunia dan berjaya mengekalkan status itu untuk dua proses penilaian semula yang telah dijalankan pakar-pakar Geologi pada tahun 2011 dan 2015.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel