Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kegigihan Monica Nain faktor kejayaan Anika Nursery di Tamparuli


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





TAMPARULI, 12 Ogos (Bernama) -- Kegigihan dan minat Monica Nain dalam perniagaan tapak semaian menjadi faktor kepada Anika Nursery yang terletak di Lakang Ria, Jalan Tamparuli, di sini, dikenali peminat tumbuh-tumbuhan terutama bunga-bungaan.

Monica, 57, seorang ibu tunggal, memulakan Anika Nursery sejak tujuh tahun lepas kerana minatnya terhadap bunga, dan menjadi sumber pendapatan untuk membesarkan enam anaknya, seorang daripadanya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan sumber manusia.

"Saya memulakan perusahaan Anika Nursery dengan modal kecil iaitu RM350 dan 10 pokok bunga pada 2012, sebelum berkembang secara perlahan-lahan sehingga dikenali pelanggan dari seluruh pelosok Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Brunei.

"Kini, selepas hampir lapan tahun diusahakan, Anika Nursery berupaya memasarkan lebih 300 pokok pelbagai jenis tumbuhan terutama bunga kertas setiap bulan," katanya kepada Bernama, di sini.

Sepanjang tempoh perusahaan itu beroperasi, Anika Nursery sudah menjual lebih 10,000 pelbagai jenis pokok bunga kepada pelanggan.

Selain menjual benih bunga, baja dan tanah hitam, Anika Nursery juga mengambil tempahan membina landskap halaman rumah, taman perumahan, hotel dan sekolah di daerah ini serta sekitarnya.

"Kerana kebolehan membina landskap yang berjaya memenuhi kehendak pelanggan, Anika Nursery pernah menerima bayaran tertinggi RM15,000 hingga RM40,000 hasil kerja dijalankan," katanya.

Monica berkata  walaupun baru berjinak-jinak dalam pembinaan landskap, pihaknya mampu menyiapkan tugasan itu dalam tempoh 10 hingga 15 hari dengan bantuan tiga pekerja.

Katanya sebahagian besar benih bunga yang disemai di Anika Nursery diperoleh dari Kota Marudu, daerah pengeluaran bunga terbesar di Sabah.

"Saya turut memperoleh benih bunga dikenali Gelombang Cinta dari Indonesia dan Kemboja Cina dari Thailand sebelum dibiakkan di tapak semaian ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang tidak mendapat pembiayaan mana-mana pihak dalam membangunkan perusahaan itu mahu memberikan tumpuan dalam menerima tempahan membina landskap sebagai tugasan utama akan datang.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel