ifSa0QlMZII Upah sarapan di "Kopitiam Beruk" sebelum mula kerja panjat kelapa
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Upah sarapan di "Kopitiam Beruk" sebelum mula kerja panjat kelapa


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 12 Ogos (Bernama) -- Selalu kita dengar orang minum di kedai kopi, tetapi jarang kita melihat sekumpulan beruk bersarapan dengan makan nasi digaul bersama telur mentah, kuih dan minum susu atau air bergas sebelum memulakan 'kerja' memanjat kelapa.

Kelainan tersebut boleh dilihat di sebuah warung yang dikenali penduduk setempat sebagai “Warung Kopitiam Beruk” yang terletak di Kampung Melor Lama, Melor di sini sejak hampir 10 tahun lepas apabila kedai kopi berkenaan menjadi tumpuan penternak beruk di kawasan sekitar.

Tidak segan kedai kopinya dikaitkan dengan beruk, pemilik kopitiam tersebut, Rohaida Ibrahim, 40, berkata satu suasana yang seronok apabila seawal jam 7 pagi, penternak beruk seolah-olah berjanji untuk bertemu, berkongsi maklumat dan masalah mengenai beruk di kedai makan berkenaan.

"Melihat gelagat beruk-beruk makan sangat menyeronokkan apabila pembela ini datang membawa haiwan kesayangan mereka, malah lebih menggembirakan beruk mereka bermanja dengan perlu disuap kuih seperti 'Cik Mek' dan donat serta minuman seperti susu atau milo.

"Kebetulan suami saya pun minat kepada hobi membela beruk, jadi kedai ini menjadi seperti 'One Stop Centre' untuk perniagaan anak beruk dan beruk dewasa, jual beli berlaku, malah di sinilah penternak veteran banyak menurunkan ilmu kepada peminat baru," katanya kepada Bernama semasa ditemui di warung tersebut di Kampung Melor Lama di sini.

Menjadi generasi muda kepada penternak beruk yang ada sekitar Melor dan Alor Bakat, Bachok, suami Rohaida, Mohd Saiful Mohd Sori, 45, berkata dia menternak beruk sejak lebih 20 tahun lepas dan pendapatannya bergantung kepada tenaga beruk untuk mengambil upah memanjat kelapa.

"Kebiasaannya beruk ini makan sama seperti apa yang tuannya makan, kalau tuan makan nasi, ia pun makan nasi, kalau tuannya minum milo, ia akan mengikuti minum air yang sama.

"Tempat ini dianggap 'legend' kerana di sinilah kami berbincang mengenai beruk peliharaan, malah sudah beberapa kali pertandingan memetik kelapa dianjurkan oleh kumpulan kami yang membawa minat ramai golongan termasuk pelancong dari luar negara," katanya.

Menjinak dan melatih beruk yang dinamakan “Dolah” berusia 15 tahun, Mohd Saiful berkata, dia tidak pernah putus menternak haiwan itu yang dibela secara bersilih ganti setelah beruk lama mati atau dijual.

Katanya, apabila beruk lain datang kedai tersebut, sekurang-kurangnya Dolah mempunyai 'kawan-kawan' seperti “Mamat” berusia dua tahun milik Mat Zain Hamzah, 80, ''Din' berusia empat tahun yang dimiliki oleh Mohd Yusoff Yaacob, 66 dari Kampung Alor Bakat dan beruk cilik betina dinamakan ''Saripah' berusia setahun dibela oleh Aznan Mohamad, 32.

Sangat mengujakan apabila Zaidi Zakaria, 50, tinggal di Kampung Pondok, Jambu Merah, Melor di sini mampu menternak beruk paling garang, iaitu 'Kechik' yang kini berusia enam tahun.

"Kechik ini seberat 10 kilogram dan namanya digelar Kechik sebab bela ia masa masih kecil lagi, tetapi sampai sekarang kami belum mesra sepenuhnya, malah sudah tiga kali ia gigit saya hingga tinggal parut di jari kelingking.

"Peristiwa ini terjadi kerana saya bergerak mengambil upah bersama Mohd Saiful dan peliknya Kechik hanya takut kepada Mohd Saiful seorang, sebaliknya kalau dengan saya dia terkam terutama semasa memanjat kelapa, jadi sampai hari ini saya letak dia dalam sangkar khas.

"Semasa beruk memetik kelapa pula, hanya dua perkataan sahaja boleh digunakan, contohnya "Ish Ambil", "Eh atas" (arahan untuk petik kelapa muda), "Yak" (arahan untuk larang). Kalau ajar panjang-panjang beruk ini susah faham," katanya.

Bagi penternak beruk, Yasin Awang Puteh, 72 dari Kampung Merbau, di sini berkata, lima tahun menjaga 'Mat Soyok' (koyak) banyak memberi pulangan kepadanya kerana haiwan tersebut rajin memetik buah kelapa sehari kira-kira 200 hingga 300 dari jam 7 pagi hingga 11 tengah hari.

"Kita perlu kenali sifat beruk jantan iaitu terlalu cemburu dengan orang perempuan... ia boleh mengamuk, jadi petua menjinakkannya, pujuklah semula dengan menggosok badan atau memberi makanan atau minuman bagi meredakan perasaan marah itu," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel