Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima aset udara digerakkan cari dua warga Singapura hilang di perairan Mersing


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





MERSING, 12 Ogos (Bernama) -- Lima aset udara pelbagai agensi penyelamat digerakkan hari ini bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dan seorang wanita Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata SAR yang memasuki hari keempat itu menyaksikan pertambahan empat aset udara digunakan pada operasi itu berbanding hanya satu aset semalam.

“Kesemua lima aset udara melibatkan dua helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebuah helikopter AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sebuah helikopter AW139 dan pesawat Beechcraft milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Keluasan pencarian menggunakan aset udara pula diperluas sehingga 900 batu nautika dari perairan timur dan utara Pulau Tioman, Pahang,” katanya kepada pemberita di Jeti Penumpang Penyabong, Endau, di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata selain aset udara, SAR hari ini turut dibantu tujuh aset laut melibatkan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Handalan, sebuah kapal KM Niah milik APMM, sebuah bot Penggalang 19, Pengawal 32 dan Kilat 14 milik APMM serta dua bot milik Pasukan Polis Marin iaitu PAC 28 dan PC31.

Beliau berkata kawasan tumpuan pencarian di laut melibatkan 600 batu nautika persegi dari timur Rompin sehingga utara Pulau Tioman.

Katanya operasi hari ini membabitkan kekuatan 104 anggota penyelamat dari pelbagai agensi berkenaan berbanding 50 orang semalam termasuk pencarian di pesisir pantai dari Mersing hingga ke Rompin, Pahang oleh anggota JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Sehingga kini kami masih belum menemui petunjuk baru dan kami berharap dapat menemui kedua-dua mangsa. Justeru, kami melipat gandakan usaha dengan memperluaskan skop pencarian dan pertambahan aset udara dan laut,” katanya.

Menurut Haris Fadzillah, faktor cuaca yang tidak menentu iaitu disebabkan angin monsun barat daya ketika ini merupakan antara cabaran anggota penyelamat dalam melakukan SAR.

Khamis lepas, lelaki berkenaan, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel