Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya sebuah ATM diletupkan dalam rompakan di Tanjung Malim


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Hanya sebuah Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) diletupkan dalam insiden rompakan di sebuah bank di Tanjung Malim awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata premis yang terletak di Jalan Haji Mustafa Raja Kamala itu menempatkan tiga mesin iaitu Mesin Deposit Tunai, Mesin Deposit Cek dan ATM. 

"Hanya sebuah mesin diletupkan dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi tadi iaitu ATM. Letupan menyebabkan cermin di bahagian menempatkan semua mesin itu pecah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Wan Kamarul, dalam insiden itu, wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 berjaya dilarikan perompak dari ATM yang diletupkan. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata polis sedang cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bagi membantu siasatan. 

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkannya kepada pihak polis. 

Sementara itu, Wan Kamarul Azran dalam satu kenyataan malam ini berkata kerugian akibat insiden rompakan tersebut berjumlah RM270,000. 

Beliau berkata polis menerima maklumat daripada pihak keselamatan ibu pejabat Ambank Kuala Lumpur menyatakan penggera di premis bank itu di pekan Tanjung Malim berbunyi pada pukul 6.45 pagi. 

Katanya seorang saksi lelaki yang tinggal di hadapan bank itu memberitahu mendengar bunyi letupan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum melihat menerusi tingkap rumahnya tiga lelaki keluar masuk di tempat kejadian. 

"Saksi beritahu semua lelaki itu menaiki kereta berwarna merah, namun tidak pasti jenis dan nombor pendaftaran kenderaan. 

"Hasil rakaman CCTV mendapati dua lelaki bertopeng telah masuk melalui pintu hadapan sebelum keluar dan meletupkan sebuah ATM," katanya. 

Wan Kamarul Azran berkata semua spesimen yang ditemukan di lokasi oleh pasukan penyiasat dihantar ke Jabatan Kimia serta Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel