Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Caj kolej kediaman pelajar diploma UiTM dilaksana sejak 2014 - naib canselor


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyatakan caj bayaran kolej kediaman yang dikenakan ke atas pelajar diploma institusi tersebut untuk semester September ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata caj berkenaan dikenakan kepada pelajar diploma susulan perbincangan serta kajian terperinci oleh pihak universiti selepas bayaran kolej kediaman diperkenalkan ke atas pelajar ijazah sarjana muda sejak Disember 2005.

Beliau berkata pengenalan caj kolej kediaman itu adalah berikutan peruntukan kerajaan kepada UiTM telah dipotong hampir RM500 juta bermula tahun 2017.

Mohd Azraai berkata kadar bayaran (bagi kolej kediaman) yang akan dikenakan adalah sebanyak RM2, RM3 dan RM4 sehari bergantung kepada jenis bilik mengikut pilihan para pelajar.

“Namun begitu, pihak universiti sedia maklum terdapat segelintir pelajar UiTM yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Oleh yang demikian, terdapat beberapa kelompok pelajar yang telah dikenal pasti dan akan diberikan pengecualian bayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohd Azraai, pengecualian bayaran itu akan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan tanggungan yang ramai; pelajar yang menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP); pelajar yang menjadi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK); pelajar badan beruniform; pelajar sukan yang mewakili negara dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan selain pelajar daripada kelab atau persatuan yang cemerlang serta mewakili negara dan memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.

Justeru katanya, keputusan mengenakan caj tersebut dibuat bagi menampung perbelanjaan penyelenggaraan selain penambah baikan kemudahan kolej serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang ada telah berusia lebih 60 tahun.

Selain itu kata beliau, pihak pengurusan universiti tersebut juga perlu sentiasa menaiktaraf kemudahan supaya seiring dengan keperluan para pelajar masa kini terutamanya di semua 35 kampus UiTM di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, UiTM giat menjalankan transformasi berterusan dan meningkatkan mutu penyampaian menyeluruh melalui inisiatif strategik bagi mencapai aspirasi untuk menjadi universiti premier bertaraf antarabangsa.

“Pihak pengurusan universiti amat menghargai keprihatinan orang ramai terutamanya daripada alumni UiTM serta menghargai dan mengalu-alukan segala bentuk sokongan, maklum balas selain cadangan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran laman Facebooknya mendakwa pelajar diploma UiTM terpaksa membayar caj kolej kediaman mengikut kategori mulai semester September ini sedangkan fasiliti itu ditawar secara percuma semasa pentadbirannya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel