Ambulans terbakar selepas pindah pesakit ke wad
Tarikh kemaskini: 13/08/2019

MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Sebuah ambulans terbakar di bahagian enjin selepas seminit selesai memindahkan seorang pesakit dari Unit Kecemasan ke Wad E Hospital Melaka pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Melaka, Soon Wee Kiang berkata dalam kejadian kira-kira 8.11 pagi itu, pemandu ambulans tersebut cuba memadamkan kebakaran apabila menyedari bahagian hadapan kenderaan berasap dan terbakar.
“Pemandu terbabit bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api dan gelung hos yang terletak berhampiran sehingga pasukan bomba sampai.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan operasi memadam kebakaran berjaya diselesaikan kira-kira 8.29 pagi dengan bantuan 16 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran di Hospital Melaka seperti yang tular di media sosial hari ini.
“Untuk makluman semua, setakat hari ini JBP Melaka hanya menerima satu panggilan iaitu kebakaran ambulans pada pagi tadi sahaja,” katanya.
-- BERNAMA
|