Kerja pembersihan pokok tumbang di P.Pinang selesai dalam tiga hari
Tarikh kemaskini: 13/08/2019
GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Kesemua pokok yang tumbang dalam kejadian ribut dan angin kencang pada 9 Ogos lepas dijangka dibersihkan sepenuhnya dalam masa tiga hari, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo.
Beliau memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, sehingga kini, 96.4 peratus pokok yang tumbang di kawasan pulau dan tanah besar telahpun dibersihkan dari jalan raya.
“Menurut Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 391 daripada 412 pokok tumbang di 343 lokasi telah dibersihkan manakala di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaporkan 244 daripada 247 pokok telah dibersihkan di 236 lokasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata pokok yang ditebang di bahagian pulau dan tanah besar kemudian akan diangkut ke stesen pemindahan masing-masing di Batu Maung serta Ampang Jajar.
“Menurut MBPP dan MPSP, 67.8 peratus pokok di pulau dan 61.2 peratus lagi di tanah besar telah diproses di stesen pemindahan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang, dan Alam Sekitar Negeri Phee Boon Poh berkata beliau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bahawa syarikat utiliti itu telah menyelesaikan 97 peratus aduan berkaitan gangguan bekalan elektrik disebabkan kejadian ribut itu pada Jumaat lepas.
Phee berkata daripada 2,947 aduan, TNB menyelesaikan 2,853 aduan manakala tindakan untuk menangani baki 94 aduan lagi dijalankan oleh pasukan teknikal TNB.
"Saya dimaklumkan bahawa keutamaan dalam membaik pulih bekalan elektrik adalah aduan yang membabitkan keselamatan orang ramai. Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh mana-mana wayar elektrik yang terjatuh, tergantung atau terjurai bagi mengelak daripada terkena renjatan elektrik,” katanya.
Jumaat lepas, beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan kawasan lain di wilayah utara dilanda ribut petir serta angin kencang.
Hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan lebih 300 pokok tercabut di Pulau Pinang, dan tiga pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan 71 orang.