Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kayak dipercayai milik rakyat Singapura yang hilang di perairan Mersing ditemui


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Sebuah kayak dipercayai milik dua rakyat Singapura yang dilaporkan hilang di perairan Mersing sejak Khamis lepas, ditemukan oleh nelayan tempatan di perairan Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kayak berwarna hijau itu ditemukan pada kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini. 

“Lokasi penemuan kayak itu berjarak sekitar 80 batu nautika dari lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilaporkan hilang pada enam hari lepas.

"Turut ditemui bersama-sama kayak ialah barang-barang peribadi dipercayai milik mangsa iaitu dua beg duit berisi wang tunai Malaysia dan Singapura, sebuah telefon bimbit, satu pasport Singapura, sebuah beg pakaian, satu kad pengenalan diri dan satu pendayung.

"Semua barangan kemudian telah diserahkan kepada pihak Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa  akan diatur semula selepas ini, bersesuaian dengan data yang diperoleh.

Tan Eng Soon, 62, yang dipercayai memakai jaket keselamatan berwarna biru merah dan Puah Geok Tin, 57, memakai jaket berwarna oren biru, dilaporkan hilang setelah terpisah daripada 13 rakan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Mereka terpisah berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel