Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Loji rawatan air di Johor alami kemerosotan


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor mengambil langkah berjaga-jaga sekali gus memantau beberapa muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini yang dikesan mengalami kemerosotan air ekoran cuaca panas dan kering sejak awal bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata fenomena cuaca kering yang melanda negara ini mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot dan boleh menyebabkan beberapa loji rawatan air di negeri ini tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

Beliau berkata buat masa ini, sumber air mentah yang diterima di 44 LRA beroperasi seperti biasa, namun, sebahagian muka sauk mengalami sedikit penyusutan dan berkemungkinan mengalami kekurangan sumber sekiranya berlarutan bagi tempoh lama.

Muka Sauk ialah bangunan yang dibina di tebing sungai dimana pam jenis tenggelam yang dipasang padanya akan mengepam air mentah ke loji air. Ianya adalah proses pertama bagi rawatan air. 

Puah berkata  LRA Lok Heng dekat Kota Tinggi antara yang terjejas dan ia dikesan mengalami kemerosotan yang mendadak.

"Paras semasa muka sauk bagi LRA Lok Heng setakat petang semalam menunjukkan kemerosotan mendadak sehingga paras amaran 0.93 meter berbanding pada paras normal 2.75 meter.

"Sungai Sedili Kecil yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi loji berkenaan mula mengalami kemerosotan sejak dua minggu lepas dan keadaan ini berterusan sehingga semalam," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Puah berkata Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) mengemukakan cadangan bekalan air berjadual bagi kawasan yang terlibat kerana loji sudah tidak boleh beroperasi secara normal.

"Permohonan untuk melaksanakan bekalan air berjadual telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kelulusan. Namun, ia bergantung kepada paras air mentah yang mencukupi untuk loji terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, LRA Lok Heng menyalurkan bekalan air terawat kepada kira-kira 4,000 pemegang pengguna di kawasan Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter, Felda Simpang Waha, Felda Lok Heng Barat, Felda Lok Heng Timur, Felda Lok Heng Selatan dan Bukit Tentera.

Sementara itu, Puah berkata paras Empangan Lebam di Kota Tinggi turut di bawah paras kritikal, namun, loji rawatan airnya masih mampu beroperasi secara normal.

"Cuaca kering yang sedang berlaku pada masa ini juga menyebabkan paras air di muka sauk sepanjang Sungai Muar menghampiri paras amaran di mana muka sauk ke loji Bukit Serampang mengalami kemerosotan paling ketara.

"Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa sungai di Segamat dan Empangan Gunung Pulai dekat Pontian yang menjadi sumber air minum untuk sebahagian penduduk Johor Bahru dan Pontian," katanya.

Puah berkata kerajaan negeri bersama Ranhill SAJ dengan kerjasama pihak agensi berkaitan akan sentiasa memantau dan sebarang maklumat terkini akan disalurkan kepada orang ramai.

Orang ramai dinasihati supaya mengambil pendekatan tidak membazirkan penggunaan air bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel