Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga PPR di Pulau Pinang terima bantuan bencana alam susulan ribut


Tarikh kemaskini: 15/08/2019





GEORGE TOWN, 15 Ogos (Bernama) -- Tiga projek perumahan kos rendah (PPR) di daerah Timur laut Pulau Pinang menerima bantuan bencana alam susulan ribut yang berlaku pada 9 Ogos lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Beliau berkata ketiga-tiga perumahan kos rendah itu ialah pangsapuri Mutiara Idaman, Jelutong Indah dan Medan Tengku.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan dan membaik pulih bagi Jelutong Indah dan Medan Tengku dibiayai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan dengan kedua-dua pangsapuri itu masing-masing menerima RM5,500 bagi kerja-kerja pembaikan.

"Kos pembaikan untuk Mutiara Idaman adalah sekitar RM200,000, yang akan dibiayai di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 peratus Pulau Pinang (TPM80PP)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat tiga program pembiayaan yang disediakan untuk membiayai kos pembaikan rumah kediaman yang terjejas akibat ribut.

Bantuan yang disalurkan termasuk dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tabung Bencana Tuan yang Terutama (TYT).

"Keluarga yang rumah mereka rosak akibat ribut boleh mengemukakan permohonan kepada pejabat daerah masing-masing, yang akan memilih satu daripada tiga program bantuan," kata Phee.

Menurutnya, Tabung Bencana TYT Pulau Pinang akan membayar ganti rugi 10 peratus daripada jumlah kerugian sehingga RM5,000, manakala ICU dan NADMA menyediakan bantuan sehingga RM10,000 dan RM5,000 bagi kerja-kerja pembaikan.

Pada 14 Ogos, kerajaan negeri Pulau Pinang menerima 2,022 laporan dari semua pejabat daerah susulan ribut. Laporan itu diterima daripada 895 keluarga yang terjejas di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah 183), Seberang Perai Selatan (69), Barat Daya (406) dan Timur Laut 469).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel