Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kompromi soal disiplin pemain - PSM


Tarikh kemaskini: 15/08/2019





KEPALA BATAS, 15 Ogos (Bernama) -- Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan berkompromi berhubung masalah disiplin dan tindakan menggugurkan dua tekong utama skuad kebangsaan dibuat selepas penilaian teliti daripada pelbagai aspek.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pengguguran Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abdul Razak, berpunca daripada masalah disiplin yang dicetuskan kedua-dua pemain itu dan bukannya disebabkan isu pembayaran elaun seperti didakwa mereka. 

"Apabila kita mahu gugurkan tekong nombor satu dan dua negara, anda ingat senang? Tidak mudah. Jika mereka ada dalam pasukan, saya mengaku peluang untuk dapat pingat emas itu cerah, tetapi kita tidak mahu hanya mengharapkan sinar cerah itu yang akan jadi gelap dek masalah disiplin. Kita khuatir habis punah satu pasukan.

"Jika pemain itu tidak turun latihan selama dua minggu dan dapat juga elaun, susahlah. Kita ada 11 aspek dalam penilaian (sebelum membuat keputusan), bukan sekadar kehadiran semata-mata," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Syahir dan Muhammad Zulkifli digugurkan daripada skuad negara oleh PSM atas alasan disiplin tetapi kedua-dua pemain berkenaan menafikan dakwaan itu dan mengambil keputusan untuk bersara, Julai lepas.

Keputusan itu menimbulkan reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menganggap konflik antara dua pemain berkenaan dengan PSM serius kerana kedua-dua pemain sudah mengharumkan nama negara.

Malah, Jawatankuasa pemilihan atlet Sukan SEA 2019 juga ingin mendapatkan penjelasan daripada PSM berhubung pengguguran dua tekong utama skuad negara itu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata PSM bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq bagi menjelaskan situasi sebenar dan berharap menteri berkenaan tidak hanya mendengar suara daripada sebelah pihak sahaja.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq melancarkan pasukan sepak takraw negeri, Penang Black Panthers bersama penaja pasukan, DGZ Agency Sdn Bhd, yang menyumbangkan sebuah van untuk kegunaan pasukan itu.

Black Panthers merupakan antara pasukan terbaik dalam arena sepak takraw tanah air kerana berjaya merangkul kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2016. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel