Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Guru,pelajar KVK bentang kajian di persidangan antarabangsa di Brunei


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Kolej Vokasional Keningau (KVK) menerima anugerah khas pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan di Brunei menerusi kajian guru seni kulinari Albert Anak Tajo Miva.

Albert membentangkan kajiannya dalam mengenal pasti keperluan latihan kemahiran bagi guru-guru di jabatan hospitaliti di kolej tersebut.

Persidangan pada 31 Julai lepas itu turut disertai oleh ahli akademik dan pelajar dari Amerika Syarikat, Indonesia, Vietnam, India, Jepun dan Pakistan. 

Ketua pasukan yang juga guru di kolej itu Sirhajwan Idek berkata kajian tersebut berjaya menarik perhatian hakim memandangkan ia sangat praktikal dan relevan. 

Katanya empat pelajar turut menyertai pertandingan tersebut dengan membentang projek tahun akhir mereka.

Dua pelajar dari program Teknologi Automotif, Charles Riche dan Akmal Hadi membentangkan kajian berkenaan peralatan bengkel kereta yang diubahsuai agar lebih cekap dan selesa digunakan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, Eve Cabrini, pelajar Teknologi Elektrik, membentangkan projeknya untuk membina mesin mengering kasut untuk pelajar asrama manakala pelajar program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Janeveralenne Marcel membentangkan kajian keberkesanan alat bantu mengajar hasil ciptaannya.

Sirhajwan berkata seorang lagi guru teknologi elektrik kolej itu Haini Kotin turut membentangkan kajiannya, selain dirinya sendiri yang membentangkan kajian mengenai teknik pembelajaran menggunakan internet untuk lebih celik maklumat dalam kelas Bahasa Inggeris. 

Beliau berkata tujuan utama KVK menyertai persidangan tersebut adalah untuk membudayakan amalan kajian dalam kalangan pelajar kolej vokasional serta melatih mereka membentang dapatan mereka di persidangan dalam dan luar negara dalam Bahasa Inggeris. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel