Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri cadang wujud dana khas bantu atlet dan bekas atlet


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





PARIT BUNTAR, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan dana khas dalam bajet akan datang untuk membantu atlet dan bekas atlet yang dilanda musibah termasuk kebakaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata dana itu bertujuan membantu meringankan beban atlet dan bekas atlet yang pernah berjasa dan mengharumkan nama negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri prihatin berikutan terdapat atlet dan bekas atlet yang tidak dijaga kebajikan mereka termasuk yang hidup susah dan memerlukan bantuan dari segi kebajikan.

“Walaupun ada peruntukan bantuan kecemasan untuk membantu atlet tetapi satu dana khas bagi membantu mereka perlu dibincangkan dan diperhalusi dalam bajet kerajaan negeri akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan kerajaan Perak bernilai RM3,000 kepada atlet bola baling SUKMA Perak 2019 Nur Fazira Mohd Nor di Kuala Bagan Tiang, dekat sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Nur Fazira bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam yang menyebabkan barangan berharga seperti pingat emas dan pingat lain yang dimenanginya dalam beberapa acara bola baling dijilat api.

“Secara dasar, Majlis Mesyuarat Exco (MMK) telah mewujudkan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi memberikan bantuan kepada atlet dan bekas atlet dalam usaha mengenang jasa kepada mereka dan membolehkan bekas atlet menyumbangkan jasa mereka kepada negeri ini,’’ katanya.

Menurut Lee, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan khas dan mesyuarat dua hala dengan beberapa rakan strategik, syarikat insurans dan beberapa agensi kerajaan termasuk hospital untuk memberikan perkhidmatan kepada atlet dan bekas atlet.

“Ada syarikat insurans yang mahu memberi peluang kepada bekas atlet menjadi ejen insurans dan ada yang menawarkan sumbangan makanan. Ini belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan. Inilah yang akan kita tawarkan kepada bekas atlet yang berkelayakan,” katanya.

Lee berkata kerajaan negeri juga meminta agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat Daerah, Baitul Mal dan Yayasan Perak untuk menghulurkan bantuan secepat mungkin bagi membantu atlet (Nur Fazira).

Beliau berkata, bantuan kepada Nur Fazira boleh disalurkan kepada  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),  pejabat penghulu dan pejabat Pegawai Daerah.

Sementara itu, Nur Fazira berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) kerana memberikan bantuan kewangan bagi meringankan bebannya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel