Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tarikh bicara kes rasuah Tengku Adnan, Tan akan ditetapkan Jumaat depan


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini akan menetapkan tarikh perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon pada Jumaat depan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 23 Ogos untuk pengurusan kes bagi pihak pendakwaan dan pembelaan hadir ke mahkamah untuk menentukan tarikh perbicaraan kes tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes Tengku Adnan bermula pada 3 September manakala Tan pada 17 September.

“Mahkamah sebelum ini membenarkan kedua-dua kes berkenaan dibicarakan bersama kerana fakta bagi kedua-dua kes berkenaan adalah sama,” katanya semasa pengurusan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Putrajaya itu yang diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Julia memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes lain bagi pihak pendakwaan dan pembelaan hadir untuk memutuskan tarikh perbicaraan yang sesuai dan mahkamah menetapkan 23 Ogos ini.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah melibatkan Tan dan Tengku Adnan  dibicarakan bersama.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat  2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.  

Pada tarikh yang sama, Tan, yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel