Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita kerugian RM20,000 terpedaya dengan 'Phone Scam'


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KEPALA BATAS, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang pekerja kilang berputih mata selepas kerugian sebanyak RM20,000 apabila ditipu sindiket 'Phone Scam' yang mendakwa wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram dan dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 51 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Negeri Sembilan yang memaklumkan mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Lelaki yang menyamar pegawai polis itu memberitahu mangsa yang mana kesnya masih dalam siasatan dan meminta agar mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai perkara itu kerana kononnya wanita tersebut merupakan suspek dalam kes itu serta memintanya bekerjasama dengan memasukkan wang ke dalam akaun polis berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa juga dimaklumkan oleh lelaki penyamar itu bahawa kesemua wang tersebut bertujuan untuk siasatan dan keselamatan mangsa. 

Katanya, berikutan terkejut dan takut selepas dimaklumkan berhubung maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat satu transaksi pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang miliknya sebanyak RM20,000 dan memindahkan ke akaun bank yang diberikan suspek.

Tambahnya, mangsa kemudiannnya memaklumkan perkara itu kepada anggota keluarganya sebelum mereka memberitahu dia telah ditipu dan wanita tersebut cuba menghubungi lelaki berkenaan, namun tidak berjaya dan seterusnya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Noorzainy berkata seorang kakitangan awam berusia 35 tahun kerugian RM4,700 turut terperdaya dengan sindiket 'Phone Scam' yang mendakwa wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram, semalam.

Beliau berkata sindiket yang menggunakan modus operandi sama menggunakan alasan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan meminta wanita berkenaan memasukkan wang ke dalam akaun mereka. 

“Mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM4,700 ke dalam satu akaun bank suspek dan dimaklumkan bahawa kesemua duit itu adalah untuk tujuan siasatan dan ia akan dipindahkan kepada pihak Juruaudit Negara,” katanya.

Beliau berkata wanita tersebut hanya menyedari dia tertipu selepas cuba menghubungi semula lelaki yang menelefonnya tetapi gagal dan mangsa kemudiannnya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel