Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Generasi muda perlu terlibat dalam inisiatif hijau ke arah masa depan lebih baik


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia terutama generasi muda perlu mempunyai kesedaran dan terlibat dalam inisiatif hijau ke arah kelestarian yang lebih baik pada masa depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council (PGC) sentiasa berusaha untuk memupuk kesedaran orang ramai terhadap inisiatif hijau dan bekerjasama dengan pelbagai institusi untuk mencapai status negeri hijau dan semoga usaha ini tersebar di seluruh negara.

"Generasi muda adalah pemimpin masa hadapan. Saya berharap generasi muda akan sedar tentang betapa pentingnya (pemeliharaan dan pemuliharaan) alam sekitar kepada kita dan bersedia menyahut cabaran untuk memainkan peranan penting dalam agenda hijau," kata beliau pada sidang media mengenai Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa (PGIGCE) 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata PGC kini aktif mempromosikan aktiviti dan kempen hijau di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri untuk menarik generasi muda supaya melibatkan diri ke arah merealisasikan visi itu.

Menurut Chow, PGIGCE 2019 akan diadakan dari 27 hingga 29 Sept di Gurney Paragon Mall, sebagai platform untuk kesedaran, perbincangan, dan berkongsi idea-idea inovatif berdasarkan tema “Bandar Hijau dan Pintar Pulau Pinang”.

Beliau berkata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin telah dijemput ke majlis perasmian dan menjadi penceramah utama bagi persidangan hijau pada 28 Sept.

"Tumpuan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup melalui perancangan dan pelaksanaan bandar hijau dan pintar di Pulau Pinang dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran awam dalam menangani isu-isu alam sekitar. Kerajaan negeri menyedari bahawa tidak ada alternatif kepada pembangunan yang seimbang, pemuliharaan alam sekitar dan planet yang kita diami.

"Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan ekologi adalah matlamat kita ke arah negara hijau untuk semua.  Oleh itu, kita perlu melabur dengan bijak dan efektif di dunia digital baharu untuk memastikan bandar kita dilengkapi untuk meningkatkan daya hidup dan daya tahan, " katanya.

Selaras dengan PGIGCE 2019, Chow berkata Malaysia Green Building Confederation (MGBC) sebagai penganjur bersama akan mengadakan MGBC Eco Power Run IV-I Green Penang Run 2019 pada hari terakhir acara pada jam 7.30 pagi.

Peserta digalakkan memakai pakaian hijau mereka semasa larian sejauh 5.1 kilometer (km) untuk mengelakkan pencemaran fabrik.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel