Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan akan kaji struktur cukai ke atas penumpang penerbangan - PM


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





SEPANG, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji struktur cukai yang dikenakan terhadap penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan juga perkhidmatan penuh, kata Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, katanya, adalah tidak adil bagi semua orang untuk membayar jumlah cukai yang sama, katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat AirAsia, RedQ, di sini, hari ini.

"Kita sedang mengkaji (cukai itu) dan jelas sekali sekiranya anda mengenakan cukai keluar yang sama bagi penerbangan kos tinggi dan penerbangan kos rendah, ia adalah tidak adil,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai gesaan daripada industri untuk menangguhkan pelaksanaan levi pelepasan tahun depan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020, manakala yang lain meminta cukai itu dikurangkan atau dimasukkan ke dalam tambang penerbangan. 

Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneliti perkara itu bagi memastikan struktur cukai yang adil kepada semua orang. 

"Pada masa ini apabila anda memperkatakan tentang cukai, ia adalah satu tahap cukai bagi semua orang tetapi tidak semua orang itu sama. Jadi kita perlu mengambil kira saiz, kos dan semuanya sekali,” katanya.

Dalam warta yang diumumkan pada 31 Julai, Kementerian Kewangan menetapkan 1 Sept sebagai tarikh efektif bagi levi pelepasan. Setiap orang yang berlepas dari Malaysia ke negara-negara ASEAN akan dikenakan bayaran RM8 bagi penerbangan dalam kelas ekonomi dan RM50 bagi kelas-kelas lain.

Bagi penerbangan ke negara-negara di luar ASEAN, kelas ekonomi akan dikenakan bayaran RM20, manakala kelas-kelas lain sebanyak RM150. 

Apabila diminta mengulas mengenai saman oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ke atas AirAsia, Dr Mahathir berkata : "Apabila terdapat perbezaan dan mereka tidak boleh menyelesaikannya di luar mahkamah, biasanya mereka akan bawa ke mahkamah tetapi saya lebih memilih penyelesaian di luar mahkamah.”  

Mengenai cadangan yang diterima daripada pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan Malaysia Airlines Bhd, beliau berkata, setakat ini kerajaan masih belum lagi yakin dengan mana-mana cadangan yang diusulkan.

"Tetapi kita akan menimbang semua cadangan yang diberikan kepada kita," katanya.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel