Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hotel Seri Malaysia dan YIPP meterai MoU jalin kerjasama perkhidmatan patuh syariah


Tarikh kemaskini: 16/08/2019




GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (RHSM) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengeratkan jalinan kerjasama dan persefahaman dari segi hartanah dan perkhidmatan berteraskan patuh syariah.

MoU ditandatangani Pemangku Pengarah Urusan RHSM Mohd Jailani Ab Salam manakala YIPP diwakili Pengerusinya Datuk Mansor Othman.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pengerusi RHSM Badrul Hassan Mohamed Kassim turut hadir menyaksikan majlis itu.

Sementara itu, Badrul Hassan berkata dengan menggunakan tagline baharu 'Seri Malaysia Terus Bersama Rakyat', RHSM akan bekerjasama erat dengan YIPP untuk membangunkan projek hartanah, restoran, pusat latihan, perkhidmatan 'travel and tours' dan banyak lagi.

"Hasrat kolaborasi ini sudah lama dirancang dan pada masa ini, perkhidmatan pengurusan dan pengemasan bilik, pengurusan dapur, makanan dan minuman dapat ditawarkan kepada projek yang bakal dibangunkan YIPP.

"Ini menjadi satu cara bagi Hotel Seri Malaysia dalam menyokong program di bawah YIPP khususnya program berteraskan patuh syariah, " katanya pada sidang media selepas majlis itu, di sini.

Badrul berkata pihaknya bersama YIPP juga akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk menawarkan kerjasama dan bantuan kepada pengusaha-pengusaha inap desa, untuk memajukan perniagaan mereka secara patuh syariah.

Katanya, antara elemen yang dititikberatkan adalah kebersihan daripada pelbagai aspek, makanan dan minuman, dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata kerjasama dan haluan baharu yang diambil oleh pihak RHSM, disifatkan sebagai telah 'keluar dari kepompong'. 

Sementara itu, mengulas mengenai perbelanjaan pelancong tempatan, beliau berkata kumpulan pelancong domestik telah membelanjakan RM60.4 bilion pada tahun lalu, dengan perbelanjaan per kapita sebanyak RM772 seorang bagi satu perjalanan.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 20.4 peratus pelancong domestik memilih untuk tinggal di hotel. Jadi, potensi untuk Hotel Seri Malaysia memberi fokus kepada pelancong domestik adalah amat luas, lebih-lebih lagi dengan harga yang ditawarkan untuk menginap di Hotel Seri Malaysia adalah amat berpatutan,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel