Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa Malaysia mesti berkembang dalam memacu usaha dalam fasa seterusnya ke arah kelestarian masa depan.

Titah baginda, ini yang sepatutnya berlaku ketika dunia sedang mengalami transformasi dan negara tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan masa lalu.

"Beta percaya, golongan muda Malaysia boleh memberi impak yang besar. Sebahagian daripada ciri-ciri belia adalah keupayaan untuk melihat dunia dari perspektif  baru.

Dengan itu, kami juga berpeluang untuk membuat perubahan, sama ada dalam bidang penyelidikan dan pembangunan saintifik, pemuliharaan alam sekitar dan kemapanan, atau pembangunan sosial dan modal insan. Semua ini dapat memberikan dorongan untuk pertumbuhan yang mampan," titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan Geran Anugerah Merdeka 2019 untuk pengumuman Pencapaian Antarabangsa dan majlis penyampaian di sin i hari ini.

"Kepada penerima Geran, saya harap anda akan memanfaatkan peluang terbaik untuk melibatkan diri dengan pakar-pakar terbaik dunia, mengumpulkan pandangan yang berharga untuk bidang penyelidikan anda, dan membangunkan penyelesaian untuk rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kepada pertumbuhan peribadi anda, " titah Sultan Nazrin.

Penerima geran ialah Chrishen Robert Gomez a/l Roy Antony Gomez, 25, Feng Ying Xing, 29, Juliana Ooi Sue May, 34, Mohd Azri Ab Rani, 35, dan Yanny Marliana Baba Ismail, 33.

Chrishen Robert Gomez kini ialah pengurus penyelidikan projek di Program Karnivor Borneo. Kerja-kerja beliau tertumpu kepada pemuliharaan haiwan terancam melalui penyelidikan genetik mengebnai Harimau Dahan Sunda.

Feng sedang menjalankan kerja-kerja pasca kedoktoran di Centre for Intelligent SDignal and Imaging Research di Universiti Teknologi Petronas. Beliau merancang untuk membangunkan model pembelajaran mendalam untuk meningkatkan prestasi kognitif.

Juliana, yang berkhidmat sebagai pengurus projek di Red Brick Global Education, berhasrat untuk menumpukan penyelidikannya bagi memperkasa golongan ibu bapa muda Malaysia dalam pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Dalam pada itu, Yanny Marliana menumpukan penyelidikannya mengenai bahan pintar yang dapat mempercepat penyembuhan tulang. Beliau kini menjadi pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia.

Mohd Azri, pensyarah kanan di Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara, berhasrat untuk meneruskan penyelidikannya mengenai bateri untuk masa depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel